Bilionair terkemuka dunia, Elon Musk sekali lagi menjadi sorotan netizen apabila dilihat tampil tidak mengenakan baju sambil bersuka ria dengan beberapa kenalannya ketika bercuti di Mykonos, Greece baru-baru ini.

Menerusi laporan PageSix, Elon menghabiskan masa bersama temannya, termasuklah usahawan tersohor, Ari Emanuel dan isteri, Sarah Staudinger di atas sebuah bot mewah dengan sewaan sekitar AS$20,000 (RM89,132) seminggu.

Elon, 51, memulakan aktiviti di atas bot yang turut hadir dengan kru professional itu dengan mengenakan baju-t putih, seluar renang hitam, kaca mata hitam dan juga sebuah topi.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu kemudian menanggalkan pakaian lalu terjun ke laut, sebelum naik semula ke atas bot mewah berkenaan.

Elon kemudiannya dilihat menikmati hidangan minuman berupa koktel sebelum dia dan rakan-rakannya menjelajah pulau berkenaan.

Menerusi respon yang dikutip di media sosial, rata-rata dilihat tidak mempercayai bahawa individu berkenaan adalah Elon Musk. Ada juga yang menyatakan Elon tampil sedemikian kerana masa kerjanya yang terlalu lama.


“Adakah itu Elon Musk?”

“Untuk bersikap adil, lelaki itu bekerja 17 jam sehari. Tidak mungkin dia akan tampil selain apa yang kita lihat ini.”

Terdahulu, menerusi laporan media, Elon berdepan dengan tuntutan mahkamah oleh Twitter apabila dia menarik diri selepas bersetuju untuk membeli platform media sosial berkenaan dengan harga AS$44 billion (RM196 bilion).

Menurut Elon, dia berbuat demikian kerana percaya platform media sosial itu menipu tentang peratusan pengguna palsunya.