Viral
Netizen Troll Kata Makanan Restoran Fazley Yaakob Tak Sedap, Tuan Badan Balas "Tak Sedap Pada Lidah Mereka"
Selepas tular video cef selebriti terkenal Datuk Fazley Yaakob mencuba makanan peniaga tepi jalan, pelbagai respon diterima daripada khalayak semasa.
Ada antaranya yang memuji tindakan Fazley yang merendah diri namun tidak kurang juga yang masih mengkritik kualiti juadah yang dihidangkan di restorannya, Suka Sucre.
Tidak lekas melatah, kata Fazley dia terbuka untuk menerima komen dan kritikan orang ramai terhadap mutu masakannya.
"Biasalah, sebab kita dalam dunia masakan. Kalau 10 orang kata sedap kemudian ada dua yang kata tak sedap, tak bermakna dua orang itu tak betul.
"Mungkin tak sedap pada lidah mereka...
"Saya masih menerima kritikan secara terbuka sebab kita dalam bidang perkhidmatan. Apabila orang mengutuk bermakna orang ambil peduli dan saya terima seadanya," katanya kepada Gempak.
Fazley yang ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta BOH Tea di Suka Sucre Kuala Lumpur tidak berkecil hati dengan tindakan netizen menyerang dengan cara provokatif (troll).
"Malah saya seronok dan tertawa setiap kali membaca komen-komen yang ditulis di media sosial mengenai masakan dan restoran saya sebenarnya," kata Fazley lagi.
Sementara itu, berkongsi keterujaan dengan perlantikannya sebagai duta teh jenama BOH, Fazley memberitahu dia tidak menyangka dirinya terpilih untuk mewakili jenama besar itu.
"Bayangkan jenama yang sudah 90 tahun usianya memilih saya untuk menjadi duta sudah pasti gembira, mengejutkan dan pada masa sama gementar. Saya sendiri membesar dengan BOH.
"Saya diberikan peluang untuk mencipta resepi berasaskan teh dan bertanggungjawab memberikan kepercayaan kepada publik bahawa jenama tempatan juga setanding dengan produk antarabangsa," ujarnya.
Dalam acara sama, Fazley turut mempersembahkan demo masakan dengan menyediakan tiga hidangan berasaskan teh iaitu Ile Flottante, Herba Ratus Pasta Seafood dengan Sirih Purut Berkrim, dan Kek Cawan Teh Tarik.
Must-Watch Video