Laman Utama

Nora Ariffin Bawa Semangat Arwah Alif Ambil Diploma, Sempat Bawa Skrol Ke Pusara Anak; “Saya Tunjuk Depan Kubur…”

gempak
Shahrin Zulkifle
08/12/2022
23:00 MYT
Sponsor Banner
Nora Ariffin Bawa Semangat Arwah Alif Ambil Diploma, Sempat Bawa Skrol Ke Pusara Anak; “Saya Tunjuk Depan Kubur…”
Penyanyi Datuk Nora Ariffin mengakui pada awalnya dia tidak mempunyai kekuatan untuk hadir mewakili arwah anaknya, Muhammad Syakir Alif bagi menerima skrol diploma di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ke-95 baru-baru ini.
Bagaimanapun kata Nora, 49, dengan semangat Allahyarham yang masih ada bersamanya, dia akhirnya hadir bagi menerima anugerah tersebut. Namun perasaan sedih dan terbayang akan Allahyarham tetap ada.
“Kalau ikutkan memang sentiasa teringat akan arwah. Saya mula-mula macam sedih dan ralat juga nak datang. Iya lah, sepatutnya saya yang berada di bawah bersama ibu bapa yang lain, dia yang sepatutnya berada di atas untuk ambil sijil tersebut, jadi perasaan ketika itu memang sedih.
“Tapi dengan semangat arwah yang ada bersama, saya bawa semangat itu untuk mengambil anugerah tersebut.
“Walaupun saya harap dia ada bersama untuk ambil sijil diploma tapi saya reda sebab Allah lebih sayangkan dia,” katanya kepada Gempak.
Sementara itu, Nora memaklumkan sehari selepas istiadat konvokesyen berlangsung, dia sempat menziarahi kubur Allahyarham dengan membawa bersama skrol diploma milik anaknya itu.
“Sehari selepas majlis konvokesyen arwah, saya bawa sijil diploma dia pergi ke kubur, saya tunjuk depan kubur arwah. Saya harap dia nampak, itulah kejayaan yang dia telah capai di dunia,” tambahnya.
Dalam masa sama, pelantun lagu Di Persimpangan Dilema itu turut berkongsi kenangan apabila pernah tampil dalam filem pendek yang diarahkan oleh Allahyarham sebagai tugasan kerjanya.
“Saya ingat lagi, salah satu daripada tugasan kerjanya, dia kena buat video filem pendek dan dia minta kerjasama saya untuk masuk dalam video tersebut. Saya segan sebab saya tak pernah berlakon walaupun untuk suka-suka, tapi sebab untuk anak saya sanggup.
“Saya terbuka untuk buat itu sebab nak support assignment arwah, jadi itu pertama kali saya berlakon untuk beberapa babak dalm filem pendek arwah dan menariknya filem pendek tersebut memenangi video terbaik, jadi saya tumpang bangga juga,” tambahnya.
Terdahulu, arwah Alif meninggal dunia pada 15 Disember 2019 kerana faktor genetik.
Selain Alif, Nora juga sebelum ini kehilangan suaminya, Johan Nawawi yang juga seorang komposer ternama pada 24 Mac 2017.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024