HIBURAN
Nora Danish Terharu 12 Hari Bertadarus, Baca 55 Muka Surat Setiap Hari - “Nikmat Apakah Ini? Rasa Tidak Mahu Henti”
Aktres jelita Nora Danish berkongsi pengalaman manisnya bertadarus buat kali pertama bersama Ustaz Hafiz Kamaal dan sahabat-sahabat Quran yang lain.
Kenangan Terindah Tak Mahu Dilupakan!
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Nora meluahkan rasa syukur dan kagum dengan perjalanan spiritual yang dilaluinya selama 12 hari berturut-turut.
Bermula dari jam 10 pagi hingga 1.30 tengah hari, sesi tadarus itu bukan sekadar membaca Al-Quran, tetapi turut diselitkan dengan tadabbur ringkas tentang surah yang dibaca.
“Kenangan terindah akan disimpan di sini, selain di hati.
“Tidak kurang 55 muka surat dibaca dengan berganti ganti setiap hari. Nikmat apakah ini?
“Rasa tidak mahu henti… tidak mahu pergi… tidak mahu hilang kenangan dan perasaan ini,” tulisnya penuh emosi.
Dalam nada penuh keinsafan, Nora mengakui perasaan yang hadir sepanjang sesi tersebut terlalu indah sehingga dia tidak mahu ia berakhir.
Di usia kini, aktres berusia 42 tahun itu semakin menghargai nikmat ilmu, kefahaman, dan kasih sayang yang tulus dalam mendekati Al-Quran.
“Terima kasih Ya Allah, Ya Rabb, Ya Latiff, untuk nikmat yang Kau berikan di usia ini.
“Untuk aku lebih menghargai, memahami dan menyayangi setulus hati,” tutupnya.
Perkongsian penuh makna ini nyata mendapat perhatian peminat yang rata-rata tersentuh dengan perjalanan rohani Nora.
Must-Watch Video