Industri fesyen belum lagi mati. Buktinya, koleksi terbaharu yang dilancarkan di syarikat peruncitan multinasional, H&M berkolaborasi dengan pereka India, Sabyasachi Mukherjee mendapat sambutan luar biasa.

Usahasama itu mula diperkatakan sejak tahun lalu, apabila video teaser dimuatnaik di akaun media sosial pereka yang terkenal dengan busana perkahwinan mewah India itu.

Ia kolaborasi yang bukan biasa-biasa. Sebelum ini, pereka fesyen Eropah sering menjadi pilihan H&M, kali ini suntikan estetik negara titik mula industri Bollywood itu diterjemahkan dalam koleksi terbabit.

Potongan longgar, corak, fabrik ringan, cetakan motif floral dan aksesori gangsa yang sinonim dengan sejarah negara India diangkat dan dimodenkan oleh Sabyasachi.

Malangnya, belum cukup 15 minit dilancarkan, semua koleksi yang diberi nama Wanderlust itu telah habis dijual secara atas talian di Malaysia. Bukti yang cukup kuat menggambarkan koleksi itu punyai peminat yang luar biasa!

Ada apa dengan Sabyasachi?

Kenapa H&M x Sabyasachi jadi kegilaan?

Pertamanya, ciri-ciri estetik rekaan itu sendiri yang kaya dengan identiti negara India. Warna-warna tanah yang dipilih amat mesra pengguna dan sesuai untuk mana-mana negara. Ada beberapa corak fabriknya menggunakan tektik cetakan blok yang sangat menawan.

Malah, Sabyasachi menyuntik elemen moden menerusi helaian seperti kaftan, blaus, dres singkat, biker jacket, utility shirt dan kemeja-t.

Aksesori seperti sun visor, reversible shopper, skaf, flip-flop, tali pinggang, rantai leher, anting-anting dan gelang turut melengkapi koleksi kali ini.

A post shared by Sabyasachi (@sabyasachiofficial)


Selain itu, Sabyasachi punya pengaruh yang besar dalam industri fesyen di India. Beliau juga punyai yayasan Sabyasachi Art Foundation yang mempamerkan tekstil India.

Popularitinya juga selari dengan lima butik flagship di seluruh India yang turut menawarkan pakaian dan aksesori barang kemas rekaannya sendiri.

A post shared by Sabyasachi (@sabyasachiofficial)


Deepika Padukone dan Anushka Sharma antara dua nama besar Bollywood yang menjadi pelanggan setia Sabyasachi. Malah, kebanyakan sari dan lehenga yang dipakai mereka merupakan sentuhan dari pereka fesyen elit itu.



Bagaimanapun, kegagalan sebahagian peminat pereka fesyen India itu mencetuskan ketegangan di platform media sosialnya dan H&M sendiri.

Ramai yang tidak berpuas hati dan memohon agar koleksi itu dihasilkan semula dalam kuantiti lebih banyak bagi membolehkan lebih ramai memperolehinya.

Mohon maaf

Justeru, Sabyasachi menerusi akaun Instagramnya hari ini tampil meredakan kekalutan tersebut dan melihat situasi tegang itu daripada perspektif positif.

"Saya mendapat ribuan emel dan mesej menyatakan kekesalan. Saya pun pernah seperti kalian, saya pernah dahulunya terlepas koleksi H&M x Madonna.

"Apabila H&M menghubungi saya untuk kolaborasi ini saya teruja, akhirnya dapat menghasilkan koleksi kepada semua orang di dunia ini.

"Kami sudah menghasilkan koleksi ini dalam kuantiti yang banyak, tidak ada jalan singkat kepada VIP. Semua punyai peluang yang sama untuk mendapatkan apa yang dimahukan secara online.

"Saya sendiri pun bingung. Ia terjual sangat pantas bukan hanya di India tapi pasaran global.

"Sama seperti kalian, saya pun berdepan masalah di bahagian troli dan aplikasi yang asyik crash. Saya tahu ramai yang kecewa dan saya mohon maaf," ujarnya.

A post shared by Sabyasachi (@sabyasachiofficial)


Jangan bimbang, Abe Nik pun antara peminat Sabyasachi yang tumpas dalam persaingan maya pada 12 Ogos lalu.

Mahalnya Sabyasachi kerana logo harimau bengal yang menjadi ikon kemegahan dan kemewahan negara India. Syabas atas kolaborasi ini dan pastinya ramai yang menantikan buah tangan seterusnya (jika ada) dari Sabyasachi!

Abe Nik juga yakin, seandainya koleksi ini dijual semula oleh pemilik yang berjaya mendapatkan item daripada jualan maya itu, pasti harga yang dijual semula juga boleh jadi berlipat kali ganda.

Bagi Abe Nik, ini antara koleksi kolaborasi H&M terbaik selepas H&M x Karl Lagerfeld yang pernah dihasilkan sekitar 16 tahun lalu.

***

NOTA: #OhAbeNik merupakan pandangan peribadi penulis dalam berkongsi tips atau ulasan tentang gaya hidup, hobi, fesyen, isu semasa dan kemahiran harian.