Buat julung kalinya, Astro memaparkan drama di sebalik tabir pembikinan pertandingan realiti nyanyian.

Dengan pengalaman berdekad lama dalam menerbitkan rancangan-rancangan realiti nyanyian popular, Astro kini menyingkap kisah yang berlaku di sebalik pembikinannya.

Menerusi siri fiksyen yang diilhamkan oleh kisah-kisah benar, ‘One Million Dollar Voice’ bakal mengundang pelbagai reaksi dan pertanyaan di kalangan para penonton dan peminat drama.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad, siri tersebut diilhamkan daripada rancangan realiti secara fiksyen.

“Kisah ‘One Million Dollar Voice’ bagaikan manifestasi rancangan-rancangan realiti nyanyian yang Astro terbitkan dalam suasana fiksyen. Tidak dapatkan dinafikan Astro sinonim dengan rancangan-rancangan realiti nyanyian sejak penubuhannya.

“Mengambil kesempatan serta insider knowledge yang ada, kami terilham untuk menerbitkan sebuah drama rantaian yang menyingkap kisah di belakang tabir sebuah rancangan realiti nyanyian.

“Ternyata ini merupakan satu advantage untuk kami mencipta semula sebuah rancangan realiti secara fiksyen untuk dijadikan tontonan para penonton.

“‘One Million Dollar Voice’ turut merupakan tajuk original yang direka dan dihasil oleh para penulis kumpulan Fiksyen Melayu Astro yang telah membawakan hits seperti ‘Sweet Dreams’, ‘Perempuan Tanpa Dosa’, 'Imam Instant Ustazah Scammer’ dan ‘Budak Hostel Otaknya Sewel’,” ujarnya.

‘One Million Dollar Voice’ mengisahkan krew produksi serta para peserta sebuah pertandingan realiti yang suatu ketika dahulu tersohor tetapi kini kian corot di kalangan para penonton.

Dengan tekanan yang diterima, penerbit TJ yang diperankan oleh Emma Maembong ingin menebus semula maruahnya serta rancangan terbitannya walau apa jua sekalipun.

Siri rantaian ini turut memaparkan motif di sebalik setiap penyertaan peserta yang mendahagakan wang kemenangan sebanyak USD 1 juta.

Antaranya Ali yang dimainkan oleh Ben Amir yang ingin melepaskan dirinya daripada genggaman gang lamanya untuk berkahwin dengan wanita pilihannya yang merupakan anak seorang anggota polis.

Manakala Zana yang dilakonkan oleh Amelia Henderson ingin membebaskan dirinya daripada dibelenggu oleh kisah silamnya sebagai seorang pekerja seks dengan bertekad untuk memenangi wang tunai tersebut.

Joe yang dimainkan oleh Lah Ahmad perlu melangsaikan hutangnya demi menyelamatkan nyawa isteri dan anaknya.

‘One Million Dollar Voice’ membariskan nama-nama hebat and popular dunia hiburan Malaysia termasuk Emma Maembong, Amelia Henderson, Ben Amir, Lah Ahmad, Roy Azman, Datin Nina Juren,

Sean Lee, Zarul Umbrella serta nama-nama baharu seperti Naufal Azrin, Uriah SK, Neeta Manisha, Bee Aishah, Ezra Kairo, Tracie Sinidol, Layla Sania dan ramai lagi.

Drama diarahkan oleh Michael Ang dan diterbitkan oleh Juita Viden akan ditayangkan pada setiap Isnin hingga Khamis bermula 28 Ogos 2023, pukul 10 malam secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.

Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati drama ini di Astro.