Ganjaran sebanyak RM150,000 akan diberikan kepada mereka yang berjaya menemui Lee Chong Loong iaitu lelaki yang hilang ketika melakukan pandu uji jet ski di perairan berdekatan Pulau Talang-Talang, Sematan Kuching baru-baru ini.

Dalam satu poster yang tular kelmarin, ahli keluarga mangsa menawarkan ganjaran RM30,000 dan jika mangsa ditemukan masih hidup pula sebanyak RM150,000 akan diberikan.

“Jika anda mempunyai sebarang maklumat, sila hubungi 019-8553333 atau 016-8872000. Kami merayu kepada orang awam untuk membantu mencari Chong Loong yang dilaporkan hilang ketika menaiki jet ski dari Pulau Talang Talang ke jeti Santubong.

“Pertolongan dalam pencarian Chong Loong amat diperlukan secepat mungkin,” kata keluarga mangsa dalam poster berkenaan.

Lee Chong, 45, kali terakhir dilihat memakai baju berlengan panjang dan seluar panjang berwarna hitam dilaporkan hilang pada Jumaat lalu sekitar jam 4 petang.

Selain itu, mangsa turut mempunyai beberapa bentuk tatu di anggota badannya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Pegawai Bomba Kanan 1 Jaree Mohamad, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima semalam masih gagal mengesan mangsa yang hilang sejak Jumaat lalu.

“Anggota SAR dari BBP Lundu sudah melakukan pencarian menggunakan sebuah bot penyelamat di sekitar Pulau Talang-Talang dan seterusnya melakukan pencarian di Muara Sungai Lundu.

“Anggota SAR dari BBP Petra Jaya juga melakukan pencarian menggunakan dua unit bot penyelamat di persisiran pantai dari Tanjung Serpan sehingga kawasan Pulau Talang-Talang serta melakukan pencarian di sekitar Pantai Trombol dan Muara Sungai Buntal.

“Namun, mangsa masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR ditangguh pada jam 5.30 petang dan akan disambung semula pada Khamis.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.

Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!

Sumber – Berita Harian