Produser dan komposer terkenal, Ajai memuji bakat penyanyi baru Sophia Zuhri.

Menurut Ajai, Sophia yang baru tampil dengan single sulung berjudul Game Of Charades itu memiliki keunikan tersendiri yang tentunya berbeza berbanding anak muda lain.

"Selama saya jadi produser lagu, susah untuk jumpa anak muda seperti Sophia ini yang tak terlalu mengejar muzik yang sedang menjadi tren.

"Bapa Sophia ada berjumpa saya sebelum kami bersetuju menghasilkan lagu ini, saya sudah biasa orang hantar demo dan saya mendengarnya.

"Tapi kalau orang nak bagi saya duit sejuta pun untuk hasilkan lagu, kalau orang tu tak boleh menyanyi saya akan terus terang saja," katanya.

Ajai berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran single Game Of Charade di Petaling Jaya pada Selasa.

Sementara itu, Sophia yang juga penulis lirik dan komposer Game Of Charades menceritakan tentang inspirasi dia menulis dan menghasilkan lagu sulungnya itu.

"Selalunya saya akan menulis tentang sesuatu situasi atau keadaan yang menyentuh perasaan saya, sama ada apa yang saya alami sendiri ataupun melalui pemerhatian sekeliling.

"Secara tidak langsung, saya akan memetik ukulele dan mula menulis melodi atau menyanyikan lagu menerusi telefon bimbit," katanya.

Gadis berusia 17 tahun ini telah menjadi komposer dan penulis lirik yang ditandatangani di bawah Universal Music Publishing Sdn Bhd.

Video muzik Game Of Charades arahan Amani Azlin boleh sudahpun dimuat naik di YouTube mulai 30 Mac 2021.