Netizen melahirkan rasa risau selepas rakaman CCTV yang menunjukkan seorang lelaki dalam keadaan berbogel kelihatan berkeliaran di sekitar kawasan perumahan viral di media sosial.

Difahamkan, lelaki yang digelar ‘orang minyak’ itu memecah masuk kawasan kediaman berdekatan Seksyen 19, Shah Alam, Selangor.


Difahamkan, lelaki berkenaan merayau dalam keadaan tanpa seurat benang sebelum melakukan aktiviti pecah rumah.

Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa sedang giat melakukan buruan terhadap lelaki berkenaan.

“Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 3.30 pagi di sebuah rumah di Seksyen 20 ketika mangsa seorang wanita sedang tidur bersama anak perempuannya di ruang tamu.

Jelas Iqbal, mangsa tersedar apabila terdapat cahaya silau mengenai mata mangsa yang sedang tidur menyebabkan mangsa terjaga dan sedar akan kehadiran suspek.

"Jeritan mangsa menyebabkan suspek segera berlari keluar dari rumah tersebut.

"Suami mangsa yang tersedar bergegas lari keluar dari dalam bilik tidur menuju kepada isterinya, namun mendapati suspek sudah tiada. Mangsa mengalami kerugian apabila kehilangan wang tunai RM1,600 hasil wang perniagaan dilarikan suspek," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd Iqbal, pihaknya juga mengesan satu video yang tular memaparkan suspek yang memakai pelitup muka dan berbogel berkeliaran di kawasan perumahan Seksyen 19.

Katanya, usaha untuk memburu suspek giat dijalankan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Mohd Shafarulrazi di talian 010-8889910 atau 03-55202222," katanya.