Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang tular memandu kereta Proton Saga ditahan polis di sebuah rumah di Pandamaran di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kanak-kanak itu turut ditahan bersama ayahnya berusia 49 tahun yang juga pemilik kereta terbabit oleh sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira jam 1.15 pagi.

BACA: Ikut Secara Rapat, Yamani Cari Pemilik Kereta Nissan Almera Elak Bayar Tol - "Kau Takkan Pergi Jauh, Standby Kena Angkut!"

Menurutnya, kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Balai Trafik IPD Klang Selatan untuk direkod keterangan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah umur dan Seksyen 111 akta sama iaitu bersubahat atau membenarkan melakukan kesalahan.

"Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa maksud melakukan perbuatan pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak leka dan sentiasa mengawasi anak-anak mereka supaya tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri atau harta benda orang lain.

Dalam pada itu, katanya, perbuatan menularkan sebarang konten sama ada dalam bentuk video atau gambar secara sewenangnya adalah tidak digalakkan demi menjaga imej dan privasi orang lain, sebaliknya dinasihatkan terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

BACA: Couple Tular Buat Projek Dalam Kereta Ditahan Polis, Kekasih Ada Jenayah Lampau

Sebelum itu, satu klip video berdurasi 1 minit 21 saat tular di media sosial berkenaan seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta jenis Proton Saga.

Tambah Hoong Fong, kejadian berlaku pada Jumaat kira-kira jam 6 petang di Jalan Kampung Pendamar, Klang.

Sumber: Sinar Harian