Laman Utama
Padah Prank Pelitup Muka, Influencer Bakal Dihantar Pulang Ke Negara Asal, Pasport Dirampas
Dua personaliti media sosial menerima padah apabila ‘prank’ mengecat muka bagi menggantikan pelitup muka mencetuskan kemarahan rakyat Indonesia.
Josh Paler Lin yang berasal daripada Taiwan serta Leia Se atau lebih dikenali sebagai Lisha daripada Rusia bertindak mengecat muka seolah memakai pelitup muka dan cuba memasuki sebuah pasar raya.
Video yang dimuat naik di laman You Tube pada 22 April itu tular dengan pantas namun ia sudah pun dipadam.
‘Prank’ tersebut menyebabkan pasport mereka dirampas pihak berkuasa serta berkemungkinan dihantar pulang ke negara asal.
Memetik laporan Coconuts.co, Jurucakap Kementerian Perundangan dan Hak Asasi mengesahkan pasport kedua-dua personaliti media sosial itu sudah dirampas.
"Keputusan sama ada akan menghantar mereka pulang akan ditentukan selepas siasatan lanjut bersama imigresen," katanya.
Sementara itu, Polis Bali, Dewa berkata, pihaknya akan mengeluarkan surat pengesyoran kepada imigresen untuk menghantar pulang pasangan berkenaan.
"Mereka bukan saja melanggar peraturan, malah membuat provokasi di tempat awam.
"Jadi wajar mereka dihukum berat bukan hanya denda tetapi dihantar pulang," katanya dalam portal Daily Star.
Sementara itu, Josh dan Lisha memohon maaf menerusi satu video di Instagram atas keterlanjuran mereka itu.
"Kami tiada niat membuat video itu untuk tidak hormat atau mengajak orang lain tidak memakai pelitup muka.
"Ia cuma sekadar hiburan kerana saya pereka kandungan dan ini tugas saya untuk menghiburkan orang.
"Saya tak sangka apa yang saya buat ini memberikan komen negatif dan meraih perhatian ramai," katanya.
Di Indonesia, berjalan dalam bangunan dengan tidak memakai pelitup muka menjadi satu kesalahan dalam peraturan pencegahan COVID-19.
Di bawah peraturan pemakaian pelitup muka di Bali, warga asing boleh denda 1 juta rupiah (kira-kiraRM284) jika mereka tidak memakai pelitup untuk pertama kali, manakala hukuman bagi kesalahan berulang adalah diusir dari Indonesia.
Must-Watch Video