Menggungguli markah keseluruhan, pelakon Zul Huzaimy telah berjaya mengalahkan empat peserta lain pada minggu keenam All Stars Buka Panggung (ASBP) dengan kutipan markah sebanyak 23.22 peratus.

Walaubagaimanapun disebabkan penjurian bagi program ini adalah 100 peratus dari undian penonton secara dalam talian, terdapat pula suara-suara 'nakal' mendakwa Zul menang atas tiket undian geng motosikalnya.

Pada yang tidak tahu, Zul merupakan pengasas dan presiden Spark Malaysia Club.

Menjawab persoalan tersebut, Zul berkata, perkara itu menunjukkan geng motosikal ‘satu hati’ dan berkonsepkan brotherhood.

"Pakai jenis motosikal apapun, kami asalkan dua roda kami satu suara.

"Kalau tergolek tepi jalan kami bantu, kalau ada apa-apa berlaku pun kami bersatu, brotherhood," katanya.

Menurutnya, dia juga percaya layanan kepada peminat adalah resipi dia menerima sokongan sehingga hari ini.

"Saya percaya setiap selebriti tidak harus meninggalkan peminat-peminat yang minat mereka dari awal pembabitan. Tujuan kita untuk menghiburkan, tapi hibur untuk siapa? Pastilah kepada penonton dan peminat.

"Semuanya give and take. Itu merupakan prinsip yang saya kekalkan sehingga hari ini," katanya.

Untuk pengetahuan anda, selain Zul antara peserta yang layak ke final adalah Noorkhiriah, Datuk Aaron Aziz dan Rita Rudaini.

Pusingan akhir akan berlangsung pada Jumaat ini.

ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.

Program ini menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.

Primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira pula menggalas tugas sebagai Seri Dewi Panggung.

ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

Program ini akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.