Mungkin ia adalah peluang keemasan buat peminat membeli pelbagai koleksi eksklusif yang pernah menjadi props filem popular Hollywood antaranya papan luncur dalam filem Back To The Future 2 yang akan dilelong kepada umum.

Alat canggih tersebut yang digunakan watak Marty McFly lakonan Michael J Fox dalam filem itu dijangka akan mula dilelong pada harga dari AS$39,676 hingga AS$66,139 (£30,000 hingga £50,000).

Begitu juga, jaket yang pernah digunakan aktor popular Harrison Ford sebagai Han Solo dalam filem Star Wars: The Empire Strikes Back dijangka dilelong dari AS$661,302 hingga AS$1.32 juta (£500,000 hingga £1 juta).

Difahamkan, acara lelongan barangan penggambaran filem ini merupakan jualan tahunan terbesar di United Kingdom yang dilakukan secara langsung

Acara kali ini akan diadakan di London BFI IMAX, London Waterloo pada September depan.

Jika peminat mahukan barangan eksklusif lain, jaket yang pernah dipakai Arnold Schwarzenegger dalam filem The Terminator juga dilelong pada harga antara AS$26,460 hingga $39,714 (£20,000 hingga £30,000).

Menurut Forbes, lebih 600 barangan unik dan ikonik juga akan dilelong ketika menerusi acara Entertainment Memorabilia Live Auction pada 20 September nanti.

Teka oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Universal Pictures