Setiap anak mesti menyimpan hasrat untuk membalas jasa dan membahagiakan ibu bapa walau apa cara selagi mereka masih bernyawa.

Kecil atau besar ganjaran itu bukan ukuran. Yang penting datang ikhlas dari hati dan dilengkapi dengan usaha.

Buat pasangan suami isteri ini, Amzar dan Fairuzziela, 26, memilih untuk menghadiahkan sebuah kereta Axia berwarna hijau untuk kedua orang tua yang tinggal di Taman Padang Nyu, Perlis.

Menurut Fairuzziela, dia nekad untuk membeli selepas mendengar kisah ayahnya, Haji Abdullah, 61, yang terpaksa menaiki motosikal pergi ke klinik walaupun keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

"Saya dan suami rancang dah lama, sejak saya tersentap dengan ayah. Masa tu dia bagitahu saya bulan Ramadan lalu dia pergi ke klinik untuk ambil ubat dengan menaiki motosikal.

"Kan tengah puasa, dengan cuaca panas pulak. Ayah saya ni mengalami penyakit kencing manis yang terok juga. Kaki dia dah dijangkiti, saraf selalu sakit.

"Bila dengar macam tu saya terkedu diam. Balik rumah terus saya berbincang dengan suami. Macam mana pun tetap nak beli kereta untuk ibu dan ayah.

"Alhamdulillah Allah permudahkan semua urusan jual beli kereta," katanya ketika dihubungi Gempak.Tambah Fairuzziela, pada hari kejadian itu dia dan suami hanya beritahu ibu ayah untuk keluar makan di Kuala Perlis.

"Ibu dengan ayah memang tak sangka sebab saya hanya bagitahu untuk keluar makan di Kuala Perlis. Masa tu pulak ayah demam, itu yang terasa sangat sampai menangis.

"Pagi Sabtu semalam ayah dah guna kereta tu pergi masjid. Dah lega demam dia. Saya pun tumpang gembira," katanya lagi.

Tambah Fairuzziela, walaupun kerjayanya sebagai guru KEMAS manakala suami membuka kedai menjual Gadjet di Jitra, itu tidak menjadi penghalang untuk mereka berbakti kepada orang tua.

"Usaha, doa dan tawakal kepada Allah. Hari-hari niat nak gembirakan ibu bapa. Insya-Allah mesti dibantu," katanya menutup perbualan.