Berikutan berita yang memaklumkan berkemungkinan adanya di kalangan ahli parlimen yang mempunyai 'close contact' dengan pesakit Coronavirus 2019 (Covid- 19), semua pegawai dan staf Istana diwajibkan membuat saringan.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Sophian Ab Rahman, Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Bahagian Istiadat, Istana Negara.

Sophian berkongsi perkara tersebut di Twitter milik beliau hari ini.

Ini berikutan berlangsungnya pertemuan di antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama barisan ahli-ahli parlimen minggu lalu.

"Semoga Allah peliharakanlah Raja kita dan diri kita semua daripada wabak penyakit ini. Amin," tulis Sophian.

Pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong bersama ahli-ahli parlimen adalah untuk memastikan keadilan berlaku dalam menentukan sokongan mereka terhadap siapa yang berhak untuk menjadi Perdana Menteri.

Sabtu lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.