BERITA
Pekerja Cuci Kereta Dipenjara Tujuh Bulan Ugut Sebar Video Bogel Wanita
Seorang pekerja cuci kereta dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Alor Setar selepas didapati bersalah memeras ugut seorang wanita dengan mengancam untuk menyebarkan video bogelnya.
Tertuduh, Muhammad Haiqdil Abdul Rani, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.
Menurut kertas pertuduhan, dia didakwa sengaja menimbulkan ketakutan kepada mangsa yang berusia 30 tahun dengan mengugut untuk menyebarkan video bogel, menyebabkan mangsa memindahkan wang RM2,510 kepadanya kerana takut.
Kesalahan itu dilakukan di Kampung Titi Haji Idris, Tajar, Kota Setar, kira-kira jam 10.30 malam pada 7 April lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, sebat, atau mana-mana dua hukuman ini jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Jayasri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Jayasri meminta mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan dengan menekankan bahawa mangsa diperas ugut berulang kali sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya.
"Kepentingan awam mesti dipertimbangkan, untuk menjadi amaran kepada orang lain," katanya.
Tertuduh bagaimanapun merayu supaya hukuman diringankan kerana pendapatan diperoleh sebagai pencuci kereta hanya RM30 sehari selain perlu menyara ibu dan enam adik-beradik lain.
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman bermula dari tarikh penangkapannya dan mengarahkan agar telefon bimbit miliknya dilupuskan.
Must-Watch Video