Bintang Hollywood yang popular menerusi filem Garden of Evening Mists, Julian Sands dilaporkan hilang sejak Jumaat minggu lalu.

Difahamkan aktor berusia 65 tahun itu hilang di pergunungan California Selatan iaitu tempat dia dikatakan melakukan pendakian.

Menurut ketua polis San Bernardino County, Gloria Huerta dalam satu kenyataan, usaha pencarian Sands terpaksa dihentikan susulan cuaca salji yang buruk.

“Pasukan mencari dan menyelamat yang ditugaskan mencari Sands di kawasan Pegunungan San Gabriel terpaksa menangguhkan pencarian darat ekoran keadaan cuaca tidak mengizinkan dan salji yang tebal melanda kawasan tersebut,” katanya dalam laporan Associated Press.

Tambah Huerta, pasukan penyelamat akan kembali memulakan pencarian dengan menggunakan helikopter dan dron sekiranya cuaca sudah mengizinkan.

Terdahulu, fenomena ribut salji telah melanda kawasan California Selatan sehingga menyebabkan keadaan pergunungan menjadi bahaya untuk aktiviti mendaki.

Untuk info, Sands pernah membintangi beberapa filem hebat Hollywood yang berjaya meraih kemenangan di Oscar, antaranya A Room With A View (1987), Warlock (1989), Arachnophobia (1990), Boxing Helena (1993) dan Leaving Las Vegas (1995).

Sumber : Associated Press