Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan beliau mempunyai cara tersendiri dalam memimpin pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga cemerlang di liga Malaysia.

Menerusi laman sosial Instagram, TMJ menyatakan dia mengawal akses luar terhadap pasukannya bagi memboleh semua pemain memberikan tumpuan dan fokus mereka terhadap permainan.

“Anda ingin tahu apa perkara pertama yang saya buat di JDT? Saya kawal akses kepada pasukan. Daripada media, wartawan, syarikat, dan juga penggunaan media sosial mereka.

“Eksklusiviti yang penuh, membenarkan semua pemain lebih fokus pada pekerjaan mereka,” tulis TMJ di ruangan IG Story miliknya.

Malah, TMJ turut meminta kepada presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membenarkannya memimpin pasukan Harimau Malaya selepas mempamerkan aksi yang kurang bertenaga di Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Kepada Presiden FAM, benarkan saya untuk ambil alih pasukan bola sepak kebangsaan. Saya akan sediakan mereka dengan kelengkapan latihan yang terbaik dan jurulatih.

“Saya tak boleh janji kejayaan yang segera tetapi saya jamin akan ada peningkatan,” jelas beliau lagi.

Pada aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai pada Sabtu, skuad Harimau Malaya tewas kepada Vietnam dengan jaringan 1-2.

Pada pusingan pertama, Emiriah Arab Bersatu (UAE) membenam Malaysia 4-0 dalam aksi kumpulan G.

Malaysia bakal mengakhiri saingan Kumpulan G menentang Thailand pada 16 Jun ini.

Pertembungan itu bakal menjadi penentu dalam misi Harimau Malaya memburu aksi playoff ke pusingan akhir Piala Asia 2023.