Petang semalam kecoh apabila pengguna Lebuhraya Puchong-Bukit Jalil berhampiran premis Mercedes-Hap Seng gempar apabila sebuah lori yang membawa muatan batu kerikil yang melalui kawasan itu tiba-tiba merempuh lapan buah kereta.

Video lapan kereta remuk dirempuh lori itu mula tular sejak semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, kesemua pemandu dan penumpang lapan kenderaan yang dilanggar lori tersebut bernasib baik apabila tiada yang mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan berkata, polis menahan pemandu lori yang berusia 34 tahun untuk siasatan lanjut.

"Semakan mendapati pemandu itu mempunyai 13 rekod saman lampau namun telah dijelaskan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut Anbalagan berkata, berdasarkan siasatan awal, pemandu lori itu dikatakan gagal memberhentikan kenderaannya dan melanggar lapan buah kenderaan yang berada di hadapannya.

Pelanggaran itu katanya dipercayai berlaku disebabkan sistem brek lori berkenaan yang tidak berfungsi dengan baik.

Ujian air kencing yang dijalankan ke atas pemandu terbabit juga katanya, negatif dadah.

Sumber: Awani