Penyanyi berbakat, Aina Abdul tampil memberi penjelasan tentang pelancaran lagu yang menggabungkan tiga buah singlenya baru-baru ini.

Menurut Aina, projek yang menggabungkan lagu Sumpah, Semalam dan Sepi itu dihasilkan bukan untuk menipu atau kitar semula seperti yang didakwa segelintir pihak.

"Bukan, ia bukan scam atau recycle, saya selalu ada sebab disebalik setiap pelancaran.

"Biasanya akan selalu ada masa dan ruang untuk material baru, saya tak janji apa-apa, tapi saya selalu menulis material baru untuk diri saya.

"Apabila tiba masanya, saya akan lancarkan juga," tulisnya di Instagram.

Sementara dalam video entri sama, Aina menjelaskan gabungan tiga lagu itu menggambarkan perasaannya ketika pandemik melanda.

"Lagu ini seperti saya keluar dari rumah, sebab serba sedikit, masa tinggal di rumah memberi kesan kepada kesihatan mental dan kreativiti saya.

"Tiga buah lagu ini digabungkan dan lirik yang saya pilih untuk dimasukkan adalah apa yang saya rasa sepanjang pandemik ini," katanya.

Pada 16 September lalu, Aina melancarkan single gabungan tiga lagu yang diberi tajuk namanya sendiri, Aina Abdul.

Pelancaran itu mencetuskan reaksi berbeza dalam kalangan peminat, ada yang menyukai, ada juga yang kecewa kerana mengharapkan penyanyi kesayangan ramai itu tampil dengan lagu yang benar-benar baru.

A post shared by AINA ABDUL (@ainaabdul)