Jansen Panettiere yang juga terkenal sebagai peminjam suara di filem Ice Age: The Meltdown, dilaporkan meninggal dunia hujung minggu lalu.

Jansen meninggal dunia pada usia yang terbilang masih muda iaitu 28 tahun. Bagaimanapun punca kematiannya masih belum dikenal pasti, lapor People.



Pemuda itu merupakan adik kepada pelakon wanita terkenal, Hayden Panettiere. Dia muda lima tahun dari kakaknya dan terlibat dalam banyak naskhah termasuk The X's, Tiger Cruise, Racing Stripes, The Martial Arts Kid, The Walking Dead, Perfect Game dan How High 2.

Pada tahun lalu, Jansen juga terlibat dalam sebuah filem berjudul Love and Love Not.

Selain dikenali sebagai pelakon, Jansen juga sangat menyukai karya seni. Instagram miliknya dipenuhi dengan pelbagai hasil seni termasuk potret dan lukisan abstark.

Kemas kini terbaharunya adalah potret wajah kekasihnya, Catherine Michie.

Malah baru tiga minggu lalu dia menunjukkan keakraban dengan kakaknya yang mengambil alih tugas tukang gunting rambut.

“Ini bukan potongan pertama yang pernah dia lakukan kepada saya,” tulis kapsyen yang dibuat Jansen mengenai Hayden, 33, pada pertengahan Januari lalu.