VIRAL
Pempengaruh Maut ‘Mukbang’ Pelitup Muka, Pemerah Pipi & Lipstik
Seorang pempengaruh muda dari Taiwan maut selepas memakan beberapa barangan kosmetik dalam aksi ‘mukbang’ yang dipertontonkan kepada pengguna media sosial, baru-baru ini.
Wanita yang dikenali dengan nama Guava Beauty dan memiliki lebih 12,000 peminat di platform media sosial maut pada usia 24 tahun dipercayai kerana keracunan.
Menerusi video yang disiarkan, wanita yang terkenal dengan konten kreatif itu telah memakan barangan kosmetik seperti lipstik, pemerah pipi dan pelitup muka.
Dia diketahui telah meninggalkan pesanan pada sebuah video promosi barangan kosmetik dengan cabaran: “Jika anda beri komen, saya akan makan.”
Pempengaruh itu kemudian dilihat mengoles pemerah pipi pada bahagian pipi dan bibir sebelum menggunakan garfu, memasukkan ke dalam mulut dan mengunyahnya, lapor South China Morning Post (SCMP).
“Mari kita cuba. Rasanya rangup. Ada rasa seperti agar-agar. Maaf semua tapi rasanya sangat teruk,” kata wanita itu.
Perbuatan tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang menonton kontennya. Ramai yang terkejut dengan tindakan di luar waras itu dan bimbang pempengaruh tersebut memberi pengaruh buruk kepada penonton terutama peminat yang terdiri dalam kalangan remaja agar mempercayai kosmetik selamat dimakan.
Berita kematian Guava Beauty diumumkan oleh keluarganya di akaun media sosial pada 24 Mei lalu.
“Mendaftar keluar daripada dunia. Memulai perjalanan baharu. Semua kerja terpaksa dihentikan,” tulis keterangan pada biografi akaun tersebut.
Keluarganya kemudian mengeluarkan kenyataan berbunyi: “Dengan hati yang berat kami mengumumkan gadis hebat yang selalu berkongsi mukbang produk kecantikan, Guava Beauty telah meletakkan berusnya dan memulakan perjalanan ke syurga pada 24 Mei 2025.”
Kenyataan yang dikeluarkan tersebut menimbulkan spekulasi pempengaruh muda itu maut kerana keracunan bahan-bahan terlarang daripada kosmetik dan alat kecantikan yang dimakan.
Must-Watch Video