HIBURAN
Pemuzik Fariz RM Ditangkap Kali Ke-4 Guna Dadah, Salahkan Tekanan Populariti
Pemuzik legenda Indonesia, Fariz RM telah ditangkap kerana kesalahan penggunaan dadah beberapa hari lalu.
Bukan pertama atau kedua kali tetapi penangkapan yang berlaku pada 19 Februari lalu di kawasan Bandung, Jawa Barat itu sudah kali keempat.
Sewaktu sidang media, Fariz RM, 66, mengaku menyesal dan meminta maaf kepada keluarga serta semua pihak kerana kembali terjerat dengan najis dadah sehingga membuat dia ditangkap buat kali keempat.
Sambil memohon semua pihak mendoakan agar dia dapat menjalani proses penahanan dengan lancar, Fariz RM mengatakan dirinya berulang kali terjebak menggunakan dadah kerana tekanan populariti.
“Saya menyesal kerana sudah berkali-kali (ditangkap). Setiap kali selesai kes, saya pasti berhenti, tapi mungkin tekanan demi tekanan dari kesan populariti menjadi beban buat saya. Jadi saya kembali tergelincir (ambil dadah),” akui Fariz RM seperti dilaporkan Viva.co.id.
Fariz RM pertama kali ditangkap kerana penyalah gunaan dadah pada Oktober 2007.
Pada 6 Januari 2015, Fariz RM ditangkap dengan kes sama untuk yang kedua kalinya. Pada penangkapan kali kedua itu, Fariz RM ditahan di kediamannya di kawasan Bintaro, Tangerang Selatan.
Fariz RM kemudian ditangkap polisi kali ketiga pada Ogos 2018.
Dan selepas penangkapan atas kesalahan sama buat kali keempat, Fariz RM didakwa bakal berdepan hukuman lebih berat.
Must-Watch Video