Dengan niat murni menyampaikan dakwah menerusi lagu, penyanyi Adib Zahar tampil dengan single pertama berunsur Islamik berjudul Akur.

Adib kini semakin aktif mengorak langkah dalam bidang seni. Single Akur siap dihasilkan pada 12 Februari lalu dengan kerjasama Fusion Records MY dan khabarnya, dia bakal melancarkan sebuah lagi lagu berjudul Waktu pada hujung tahun ini.

Setidaknya, pemilik nama lengkap Muhammad Adib Aiman Zahariman, 24, itu dapat memeriahkan lagi industri seni tempatan terutama bagi mereka yang menggemari genre berkaitan dakwah.

Menurut Adib, single Akur mengisahkan tentang bagaimana kita manusia biasa tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dan diuji pada bila-bila masa oleh Allah SWT.

“Sebagai khalifah di muka bumi-Nya, Kita juga seharusnya menerima sebarang ujian dari Allah dengan hati yang terbuka, mengetahui Allah tidak akan menguji di luar kemampuan hamba-Nya.

"Sebagai manusia kita hanya boleh berharap kepada Allah untuk dalam segenap perkara seharian. Jika kita melakukan sebarang kesalahan, mohonlah ampun kepada Allah, kekecewaan dan renunglah kita sebagai manusia. Semoga ia sentiasa membawa kita kembali ke jalan yang benar,” katanya.

Menyentuh tentang penghasilan lagu Akur, Adib Zahar menceritakan lagu ini melalui satu proses yang sangat panjang iaitu melalui tiga fasa sehingga mengambil masa sembilan tahun dan melibatkan enam orang teman rapat beliau.

“Pada peringkat permulaan, impian untuk melancarkan lagu ini terkubur disebabkan kekurangan dari sudut persediaan vokal dan juga faktor kurang pengalaman, jadi belum sampai rezeki pada waktu itu untuk ke arah penerbitan dan kami mengambil keputusan untuk mengambil haluan masing masing.

“Kemudian fasa kedua, pada tahun 2017 sewaktu saya belajar di kolej saya bersama tiga orang lagi terdetik untuk bawa lagu Akur ini yang sebelumnya dinamakan tajuk Hilangkah Aku untuk kami menyanyi sekali alang alang berada di studio.

"Ketika itu saya ubah lirik lagu ini dan kami hanya sempat untuk merakam suara sahaja dan belum ke fasa mixing dan mastering. Tetapi disebabkan kami masih belajar jadi kami terpaksa menunda seketika hasrat untuk terbitkan lagu ini dan membawa haluan masing masing.

“Fasa ketiga tahun 2021, saya telah mengubah semula lagu dan juga tajuk daripada Hilangkah Aku kepada Akur kerana konsep kehilangan tersebut saya tukarkan lebih kepada konsep kehambaan," katanya lagi.

Lagu ini merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Kuroy dari Karya Positif. Proses rakaman Akur telah dijalankan di Quantize Studio & Production menggunakan khidmat Ramzul Ikbar sebagai jururakam manakala Farred Zane (Damai and Friends) bertindak sebagai vokal latar.

Fusion Records MY selaku pengedar single Akur telah pun melancarkannya melalui pasaran digital seperti laman strim, Youtube & Itunes. Sebuah video lirik telah pun dihasilkan dan dimuatkan ke laman youtube Fusion Records MY. Audio rasmi pula tersedia di semua laman strim seperti Spotify, Apple Music, Joox.