Penceramah bebas Abu Syafiq bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Ibu Yati yang didakwa telah melemparkan fitnah terhadap dirinya.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram (IG), Abu Syafiq memberitahu akan menghantar satu notis tuntutan ke atas wanita yang digelar ‘Ibu Yati’.

“Insya-Allah minggu depan melalui peguam saya akan hantar satu saman/notis tuntutan ke atas seorang wanita bergelar Ibu Yati bekas wartawan kerana memfitnah saya,” tulisnya.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lanjut kenyataan fitnah yang dibuat wanita tersebut kepada dirinya.

A post shared by Ustaz Abu Syafiq (@ustazabusyafiq)

Terdahulu, wanita yang digelar Ibu Yati menggemparkan negara apabila dikatakan menyebarkan fahaman ajaran Islam Melayu.

Ibu Yati atau nama sebenar Wan Noor Hayati Wan Alias didakwa membawa ajaran ‘agama Melayu’ dengan lafaz syahadah yang pelik disamping amalan ritual yang melanggar syariat Islam.

Semalam, wanita tersebut disiasat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung kes penyebaran fahaman terbabit.

Sumber: Malaysiapost