Laman Utama

Penerbit Buku Teringin Jalin Kerjasama Dengan Siti Nurhaliza Hasil Naskhah Kembara Seni Wanita Muslim

gempak
Amri Hassan
14/04/2022
05:55 MYT
Sponsor Banner
Penerbit Buku Teringin Jalin Kerjasama Dengan Siti Nurhaliza Hasil Naskhah Kembara Seni Wanita Muslim
Siapa yang tidak mahu bekerjasama dengan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Hasrat sama turut disuarakan oleh pemilik syarikat penerbitan Tertib Publishing yang sedang menempa nama pasca COVID-19, Khairul Amar Razali.
Kata Khairul, syarikatnya terdahulu pernah beberapa kali menerbitkan bahan bacaan yang mendekati demografik generasi muda hingga awal 60-an.
"Kami bawakan penulis Islamik antarabangsa termasuklah nukilan penceramah motivasi terkenal seperti Yasmin Mogahed, Imam Dr. Omar Suleiman, Yahya Ibrahim. Bagaimanapun, kandungan lokal juga diutamakan.
"Termasuk kerjasama Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menerusi terbitan buku The 49th Rules, Muslim Astronauts in Space dan The Twins' Space Mission.
"Malah kami menjalinkan kerjasama dengan jenama Telekung Siti Khadijah menghasilkan buku kanak-kanak seperti The Madrasah of Ramadan (Activity Book). Kami juga terbuka untuk menjalin kerjasama dengan figura terkenal tanah air contohnya Datuk Seri Siti Nurhaliza, untuk menerbitkan buku mengenai kembara seninya sebagai wanita Muslim sekiranya diberikan peluang," katanya.
Bercita-cita menjadi peneraju bahan bacaan Islamik, pengetahuan dan inspirasi dalam bahasa Inggeris, syarikat penerbitan buku yang beribu pejabat di Subang Jaya itu optimis dengan apa dimulakan.
Penerbit bahan bacaan Islamik berbahasa Inggeris
Sehingga kini syarikatnya sudah menerbitkan 51 judul buku merangkumi pecahan bacaan dewasa dan kanak-kanak.
"Membaca itu jambatan ilmu. Ia teras yang sudah sebati dalam diri kita dari kecil sampai dewasa. Itu menjadi manifestasi utama apa yang saya usahakan ini.
"Cuma saya cuba melawan arus untuk menerbitkan bacaan dalam bahasa Inggeris. Pendek kata, saya nak jadi penerbit bahan bacaan Islamik berbahasa Inggeris yang dicari ramai.
"Lagipun penerbitan bacaan bahasa Melayu sudah banyak di pasaran," katanya yang sebelum ini belajar dalam bidang kejuruteraan di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat.
Terkini, syarikatnya kian berkembang dengan 13 orang kakitangan bagi memenuhi permintaan untuk mengeksport buku ke luar negara termasuk Singapura, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan sebagainya.
Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini juga, syarikat itu turut menerbitkan buku kanak-kanak interaktif.
"Ia termasuklah jenama Nuh & Nuha diambil bersempena nama anak kembar saya menerusi penerbitan buku kanak-kanak seperti 'A Remarkable Ramadan Sound Book'. Ia buku interaktif bersuara yang disokong dengan audio bacaan doa dan amalan di bulan mulia ini.
"Tak ketinggalan, Ramadan Therapy, What I Would Like For Ramadan, My Ramadan Journey Puzzle, dan banyak lagi," katanya.
Mizi Wahid Live In Kuala Lumpur
Untuk rekod, bacaan yang diterbitkan oleh syarikatnya dijual sekitar harga mampu milik serendah RM30 hingga RM90.
"Tahun ini disasarkan, dalam empat kelima bacaan baru akan diterbitkan. Anggaran jualan produk sebulan kami raih pada Mac lalu contohnya mencecah RM200,000. Tahun ini kami sasarkan jualan sekitar RM3 juta. Insya-Allah. Selain itu, sistem ejen juga mula dilaksanakan.
"Ada juga permintaan menterjemahkan buku laku keras, 'A Juz A Day: Summary of the Qur'an' daripada Yahya Ibrahim ke dalam bahasa Melayu dan kami sedang mempertimbangkannya," ujarnya.
Dalam pada itu, syarikatnya bakal menganjurkan acara langsung dengan pembabitan penceramah muslim antarabangsa, Mizi Wahid di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur pada 16 dan 17 April ini untuk orang awam.
Tiket acara Mizi Wahid Live In Kuala Lumpur dan bahan bacaan terbitan Tertib Publishing boleh dibeli di pautan https://linktr.ee/tertib atau hubungi 017-399-7411.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live