Pengarah drama, Raja Ahmad Alaudin disahkan meninggal dunia di kediamannya di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, jam 6 pagi tadi.

Pengurus produksi syarikat Pena Creative Pictures, Mohd Syahidan Hassan yang mengesahkan berita itu berkata, Allahyarham dipercayai meninggal dunia ketika tidur.

“Seperti biasa saya akan menjemputnya untuk ke set penggambaran setiap hari jam 6 pagi.

“Bila saya telefon arwah, panggilan saya tidak dijawab dan bila ketuk pintu rumah pun tiada respon.

“Saya tidak sedap hati dan membuat laporan polis. Dengan bantuan polis dan bomba, kami masuk ke rumahnya dan melihat arwah terbaring di atas katil. Dia meninggal dalam tidur,” katanya kepada Mstar Online.

Antara drama popular arahannya, Curi Curi Cinta, Ariana Rose dan filem seperti Lurah Dendam, Hati Bukan Kristal, Kayangan dan banyak lagi.

Sumber: Mstar Online