Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengabaikan seorang remaja perempuan sindrom down sehingga mengalami kecederaan, pada Jun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 29 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga remaja kelainan upaya (OKU) berkenaan dan telah menyebabkan pengabaian sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu dibuat di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju antara bulan Februari sehingga Jun tahun ini yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama 20 tahun serta denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 berikutan kes tersebut melibatkan kepentingan awam.

Tertuduh turut diarahkan untuk tidak mengganggu mangsa serta saksi bagi kes berkenaan.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Nur A'minahtul Mardiah Md. Nor memohon agar mahkamah memberikan jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama sepanjang kes.

Hakim, Izralizam Sanusi seterusnya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bersama seorang penjamin termasuk pasport diserahkan kepada pihak mahkamah serta perlu hadir ke balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah menetapkan tarikh 4 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.

Pada 6 Julai lalu, Astro AWANI melaporkan remaja OKU ditemui melecur teruk pada dada, tangan dan leher dipercayai didera di pusat asuhan di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini.

Ketua Jabatan Sisatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, remaja berusia 13 tahun itu yang diselamatkan selepas pihaknya menerima aduan pada 24 Jun lalu, turut mempunyai kesan luka pada paha.

Kisah yang menimpa remaja berkenaan yang dikenali sebagai Bella mendapat perhatian masyarakat terutamanya di media sosial dengan tanda pagar #JusticeForBella.

Susulan kes berkenaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur menyita rumah perlindungan yang dikenali sebagai Rumah Bonda.