Komposer berpengalaman, Hadi Hassan mengakui penyanyi profesional bertaraf popular juga mempunyai masalah suara sumbang ketika rakaman lagu di dalam studio.

Jelasnya, situasi tersebut berlaku apabila kurang penghayatan daripada penyanyi itu ketika menyanyi.

"Jika sempurna pun, 'feel' dia tidak 'best', saya nak lebih gemersik. Dari aspek teknikal mungkin tiada masalah tapi saya mahukan rakaman yang lebih baik," katanya kepada Astro Gempak.



Akuinya, kecanggihan teknologi dalam studio rakaman termasuk 'software' atau perisian memudahkan rakaman sesebuah lagu dilakukan dengan cepat dan memperbetulkan kesilapan yang dibuat penyanyi terbabit.

Malah, kemudahan teknologi juga banyak membantu bakat baru yang tidak pandai atau mempunyai sebarang pengalaman dalam proses rakaman lagu.

"Mungkin saya bernasib baik kerana bakat baru yang datang semuanya bagus-bagus yang tidak mengambil masa lama. Ada sejam dah siap, ada pula sampai 4 hingga 5 jam.

"Malah, ada yang teruk saya suruh balik tapi saya beritahu apa silap, suruh balik praktis vokal. Tidak boleh bergantung pada 'software' sebab nanti menyanyi secara 'live' hancur," katanya.



Ujarnya, penyanyi tidak boleh hanya bergantung beraksi secara miming ketika membuat persembahan pentas.

"Saya pernah cakap pada bakat baru, kamu boleh menyanyi tapi belum bersedia iaitu 'recording' bersedia tapi di luar tidak. Kalau nak 'record' sekadar suka-suka untuk simpan tak mengapa tapi jika mahu jadi artis, saya suruh dia balik untuk berlatih vokal dulu," katanya.



Hadi yang juga bekas vokalis kumpulan legenda Carefree kini berbangga dengan studio sendiri, Fatcat Pro Sound Studio yang turut mempunyai teknologi bunyi Dolby 5.1 untuk rakaman lagu, muzik video, filem skor dan 'folly'.

"Ada beberapa peralatan lama masih analog digunakan untuk beri bunyi yang lebih sedap. Digital macamana baru pun memang tidak boleh lawan analog.

"Software semua baru termasuk keyboard dan 'controller'. Peralatan baru, buat kerja pun laju macam nak cari sesuatu bunyi tekan saja sebab dah ada software cuma interface paling penting untuk sound nak masuk," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak