Penyanyi baru, Aliff Iskandar tumpeng simpati terhadap nasib individu yang berkongsi pengalaman putus cinta dan dicurangi apabila mendengar lagunya berjudul Perit.

Lagu yang menghiasi drama bersiri Perempuan Tanpa Dosa dan Angkara Cinta itu mendapat sambutan hangat apabila dijadikan ‘lagu tema’ bagi mereka yang putus cinta, dicurangi dan berhadapan dengan apa sahaja masalah perhubungan.

“Apabila lirik tersebut dekat dengan pendengar, mereka mudah menerimanya. Ada yang bagaikan pernah berhadapan dengan situasi tersebut dan tak kurang juga yang meninggalkan pelbagai komen tentang pengalaman mereka dalam video muzik berkenaan.

“Saya baca setiap komen yang mereka titipkan. Macam-macam kisah dan pengalaman dikongsikan. Mana yang tragis tu, saya bersimpati sangat-sangat.

“Terima kasih sebab memberikan sokongan kepada lagu ini. Saya tak sangka, sejak dilancarkan tiga bulan yang lalu, Perit benar-benar diterima baik daripada peminat. Orang pun makin kenal dengan lagu ini,” katanya.

Terbaru, Aliff bersyukur kerana karyanya itu diterima baik oleh beberapa pihak yang percaya kepada bakat penciptaan lagunya. Dia yang sudah menghasilkan beberapa lagu lain juga gembira apabila ada pihak yang mahukan karyanya.

Semua itu berlaku apabila dia mula menyanyikan lagu baharunya semasa sedang bersiaran langsung menerusi Instagram miliknya. Beberapa pihak sudah mula merisik dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan karya baharunya itu.

“Memang ada beberapa pihak yang sudah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan saya termasuklah mengasilkan runut bunyi dan sebagainya. Sudah pasti sebagai seorang pencipta baharu, saya amat hargainya.

“Bila ada yang percaya kepada hasil karya saya, tiada apa kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan ini. Semoga apa yang dirancang akan tertunai sedikit masa lagi,” kata bakal guru yang kini sedang menuntut di Institut Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur ini lagi.

Menariknya bukan sahaja beberapa syarikat produksi menyatakan hasrat untuk bekerjasama tetapi juga beberapa artis popular turut menyatakan minat mendapatkan karya baru Aliff.

“Setakat ini semuanya masih dalam perancangan. Andai kata semuanya berjalan lancer seperti yang dirancang, saya akan kongsikan kepada semua,” kata penyanyi yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini lagi.