Pelakon Anas Ridzuan mendedahkan, antara cabaran terbesar dalam filem Kalut Nak Kahwin adalah dia perlu membayangkan situasi sebenar ketiadaan air sewaktu majlis perkahwinan.

Jelas Anas, biarpun tidak pernah berhadapan situasi sedemikian namun sebagai seorang pelakon dia perlu menjayakan watak itu sebaik mungkin.

“Cerita ini mengisahkan kehidupan masyarakat di perumahan flat, ketika mereka ingin melakukan persiapan kerja kahwin tapi air pula tiada.

“Kalau situasi macam dalam filem ini, saya tidak pernah hadapi, tetapi kalau tiada air di rumah waktu hari biasa itu pernah hadapi sekali dan situasinya sedikit berbeza.

“Jadi untuk bayangkan situasi tiada air sewaktu majlis perkahwinan itu agak mencabar juga, namun sebagai pelakon saya perlu bayangkan situasi itu betul-betul terjadi depan mata saya.

“Saya perlu wujudkan rasa risau, gelabah dan kalut itu supaya jalan cerita filem ini boleh sampai kepada penonton yang menyaksikan filem ini nanti,” katanya ringkas ketika ditemui Gempak.

Selain Anas Ridzuan, Kalut Nak Kahwin turut dibintangi oleh barisan pelakon tanah air yang lain seperti Salih Yaacob, Kartina Aziz, Amerul Affendi, Dee Al-Hadi dan ramai lagi.

Dalam pada itu, Anas sempat berkongsi tindakan yang diambil sewaktu ketiadaan air di rumahnya suatu ketika dulu.

“Ada satu pengalaman saya dulu, pada suatu hari tiada air dekat rumah, tapi saya perlu bergerak ke tempat kerja sebab dah lewat.

“Untuk tunggu lori bantuan yang bawa air lagilah lambat, jadi saya guna air minuman yang dalam botol buat basuh muka saya, cukuplah buat syarat,” ujarnya sambal tertawa kecil.

A post shared by Astro First (@astrofirst.official)


Kalut Nak Kahwin mengisahkan keadaan hari majlis pernikahan dan persandingan Munirah yang menjadi kalut apabila kawasan flat kediamannya mengalami gangguan air. Sebagai anak sulung, Mustakim berusaha menyelesaikan masalah dan memastikan hari bahagia adiknya dapat diteruskan.

Selain masalah air, banyak hal lain berlaku seperti insiden kebakaran, tok kadi yang mempunyai urusan lain dan pelamin yang tidak sempat siap. Di atas semangat kejiranan, semua penduduk flat cuba membantu walaupun semuanya dalam keadaan kalut.

Kalut Nak Kahwin kini sudah mula ditayangkan di pawagam rumah anda bermula 4 Ogos menerusi saluran Astro First (480). Langgan sekarang untuk menyaksikan lebih banyak filem menarik.