Pendatang baharu, Syahmi Irfan tidak menyangka bakat nyanyiannya memikat hati pengarah Michael Ang untuk menyanyikan lagu OST atau runut bunyi buat drama arahannya, Perempuan Tanpa Dosa.

Lebih terharu lagi Syahmi, 19, berkata lagu ciptaannya dan sahabat Que Afiq berjudul Mungkir turut dipilih menjadi lagu OST drama yang kini sedang ditayangkan di saluran Ria (124) dan Ria HD (104).

“Saya tidak menyangka dan terharu apabila saya dan lagu ciptaan saya telah dipilih oleh Michael Ang untuk OST dramanya.

“Saya berbangga apabila dapat tahu saya antara yang terplih dari 100 penyertaan yang diterima.

“Mungkin ini lah yang dinamakan rezeki kerana saya baru sahaja beberapa bulan menjadi artis rakaman Indigital Music,” katanya kepada Gempak.

Mungkir turut menampilkan seorang penyanyi wanita yang juga artis baru Indigital Music Aufa Hanie, 17, untuk menyanyi bahagian akhir lagu tersebut.



Terdahulu, Micheal pernah membuat pencarian penyanyi baharu untuk lagu tema drama ini dan mendapat maklum balas yang cukup positif daripada penyanyi muda serata Malaysia.

Mereka menerima lebih 100 penyertaan dan hanya 15 terpilih untuk diujibakat oleh pihak Indigital Music.

Selain Syahmi, seorang lagi pendatang baru Aliff Iskandar, 20, turut terpilih menyanyikan satu lagi lagu runit bunyi drama tersebut iaitu berjudul Perit.

Menceritakan penglibatatannya dalam bidang seni suara, Syahmi memberitahu dia sudah lama bercita-cita untuk menjadi seorang penyanyi sejak kecil lagi.

“Sebenarnya saya memang minat menyanyi sejak kecil tetapi impian itu terpaksa dibatalkan kerana saya memberi tumpuan dalam bidang sukan.

"Saya dimasukan ke sekolah sukan di Bukit Jalil dan menjadi pemain badminton negara.

“Namun beberapa tahun lepas saya alami kecederaan dan tidak dapat menjadi ahli sukan. Jadi saya rasa kini tiba masanya untuk saya kembali meneruskan impian saya untuk menjadi penyanyi.

“Saya mahu bakat nyanyian saya diterima ramai dan mencipta lebih banyak lagu lagi,” katanya lagi.

Perempuan Tanpa Dosa yang menampilkan Kamal Adli dan Uqasha Senrose sebagai peneraju utama itu kini di slot MegaDrama pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di saluran Ria (124) dan Ria HD (104).