Watch
Perodua hasil lebih 500,000 EEV
Dalam tempoh empat tahun, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) sudah menghasilkan lebih 500,000 Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai pendahulu dalam segmen berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, perjalanan EEV bermula pada 2014 dengan Axia, EEV pertama negara dan juga model transformasi pertama syarikatnya.
“Ia diikuti dengan Bezza, sedan EEV pertama dua tahun kemudian dan seterusnya Myvi baharu pada 2017.
“Saya dengan rendah diri mahu mengumumkan bahawa sejak pelancarannya masing-masing, sebanyak 342,600 unit Axia, 130,000 unit Bezza dan lebih 75,000 unit Myvi baharu sudah menemui pemiliknya di Malaysia setakat ini,” katanya.
Bagi diiktiraf sebagai EEV, kenderaan harus mencapai atau menjangkaui kecekapan bahan api (diuji mengikut piawaian UNECE R101) yang tertentu berdasarkan beratnya tanpa muatan.
Axia, Bezza dan Myvi baharu mampu mencapai kecekapan bahan api melebihi 20 kilometer seliter.
Tidak terhad kepada produk, kilang Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, yang mengeluarkan Axia dan Bezza, juga adalah kilang bertaraf EEV pertama di Malaysia.
Ia menggabungkan teknologi cekap tenaga dalam mengurangkan kadar pelepasan pengeluaran serta menetapkan piawaian baru dari segi kualiti, pengurusan kos dan penghantaran.
Sementara itu, beliau berkata, kecekapan bahan api kenderaannya menyumbang kepada kos operasi yang sangat rendah, dan juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia lebih bersih serta hijau.
“Ia juga digabungkan dengan ciri Perodua iaitu berkualiti tinggi, kebolehpercayaan, praktikaliti, kemudahan memandu dan rangkaian perkhidmatan terbesar di negara ini dalam usaha kami untuk menyediakan pakej mobiliti bernilai untuk rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat.
“Kepada rakyat Malaysia, terima kasih kerana menjadikan Perodua jenama pilihan anda,” katanya.
Must-Watch Video