Malang menimpa seorang pesara guru wanita apabila kerugian RM225,000 selepas ditipu sindiket 'love scam' yang menyamar sebagai artis K-Pop, Lee Min-Ho.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas mangsa yang berusia 74 tahun tampil membuat laporan, Isnin lalu.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa mengenali suspek melalui laman sosial, Facebook sejak tahun 2022 lalu dan berhubung melalui 'massenger'," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, suspek telah menyamar sebagai artis Korea Selatan dengan nama Lee Min-Ho.

Ujarnya, pada Oktober lalu, suspek memberitahu dia memerlukan wang untuk digunakan bagi kes perbicaraan di mahkamah dan meminta mangsa memasukkan wang menggunakan alasan tersebut.

"Mangsa telah melakukan pindahan wang bermula Oktober sehingga Disember tahun ini dengan jumlah RM225,000.

"Sebanyak enam transaksi dilakukan di sebuah bank di sini. Namun, menyedari telah ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis," katanya.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis sedang giat mengesan pelaku.

Sumber: Sinar Harian