Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jumlah kemasukan kes COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk kes yang disyaki atau kemungkinan dijangkiti di Lembah Klang telah meningkat sebanyak 94 peratus berbanding dua minggu lalu.

Menerusi laman sosial Facebook, Dr Noor Hisham berkata, situasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini amat teruk dengan 79 peratus katil ICU di hospital COVID-19 di tiga negeri berkenaan telah digunakan untuk merawat pesakit dijangkiti.

"Hospital COVID-19 telah meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit COVID-19, melalui pengubahan semula wad biasa. Bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan COVID-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang betul.

“Sistem penjagaan kesihatan di Lembah Klang berada kini berada dalam tekanan yang luar biasa. Petugas barisan hadapan sudah lesu dan kepenatan. Tolonglah kami agar kami masih dapat menolong anda apabila bila tiba masa dan waktunya,” katanya menerusi satu hantaran.

Beliau juga menggesa orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kekal berada di rumah jika tiada urusan penting di luar.

Pada Rabu, Malaysia merekodkan jumlah kes COVID-19 harian tertinggi iaitu sebanyak 6,075 kes.


Sumber: Bernama