Laman Utama
Pilih Tarikh 11/11/2020, Kak Girl Dan Pasangan Selamat Diijabkabul
Personaliti media sosial dan pelakon Nur Amira Maslan atau lebih dikenali sebagai Kak Girl selamat diijabkabulkan bersama pilihan hati yang dikenali sebagai Osman Ali pada hari ini.
Majlis berlangsung pada pukul 9.30 pagi bertempat di Pejabat Agama Kadir, Johor Bahru dengan dihadiri lima orang termasuk ahli keluarga.
Menurut Kak Girl, dia bersyukur apabila sah bergelar seorang isteri dan majlis pernikahannya berjalan dengan lancar.
“Gembira rasanya menjadi isteri orang. Perancangan asal kami untuk bernikah pada bulan Januari 2021 bersempena dengan birthday saya tapi kami percepatkan tarikh tu atas sebab urusan keluarga.
“Alhamdulillah pejabat agama Johor permudahkan urusan pernikahan kami dengan mematupi semua SOP yang telah ditetapkan dan dapat pula tarikh cantik hari ini 11/11/2020,” kata Kak Girl ketika dihubungi Gempak.
Pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 berserta tiga dulang hantaran berbalas tiga, manakala wang hantaran dirahsiakan.
Kak Girl dan suami memilih untuk berbulan madu di Pulau Pangkor, Perak jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat kelak.
“Asalnya saya teringin sangat nak pergi ke Agra India untuk melihat keindahan Taj Mahal tapi disebabkan tak boleh keluar, suami saya ajak pergi menyelam dalam laut di Pangkor sahaja,” jelasnya lagi.
Jun lalu, Kak Girl dan Osman mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis ringkas di rumahnya.
Terdahulu, Kak Girl pernah berkahwin dengan Mohd Hafizi Marzuki pada 20 Februari 2015 di Johor Bahru dan masih belum dikurniakan cahaya mata.
Pasangan itu kemudiannya bercerai pada Oktober 2019 di Mahkamah Rendah Syariah Johor.
Must-Watch Video