Walaupun garis panduan dan nasihat telah diberikan, namun pengumuman mengenai PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor bermula 14 Oktober ini tetap menimbulkan suasana panik seketika buat segelintir rakyat.

Beberapa media massa yang membuat tinjauan termasuk Astro Awani, Utusan Melayu dan Sinar Harian misalnya menyaksikan pembelian panik berlaku di beberapa buah pasaraya.

Aksi itu telah mendapat pelbagai reaksi dari netizen terutama di Twitter. Banyak yang meminta agar pembelian panik tidak dilakukan dan rakyat lebih bertenang serta kekal mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Salah seorang yang membuat ciapan di Twitter adalah bekas hos HLive, Hazeman Huzir atau Haze. Melalui ciapannya 13 jam lalu, Haze mengatakan rakyat tak perlu berpusu keluar membuat pembelian panik.

Sebaliknya, apabila barangan sudah habis, keluar membeli seperti biasa.

"Ini bukan pertama kali kita kena PKPB. Cemas kenapa"? ciapnya.

Seorang pengguna Twitter, @adammukhrizmy pula menyampaikan mesej buat seluruh rakyat Malaysia dengan membeli barangan buat membantu golongan yang terkesan, bukan mmebuat pembelian panik.

"Belilah barangan di kedai, gerai dan warung sepanjang PKPB ini. Bantu support mereka.

"Mereka sudah cukup terkesan beberapa bulan sebelum ini. Jangan buat pembelian panik. Kedai masih boleh dibuka cuma waktu yang terhad," ciapnya.




Malah kebanyakan pengguna Twitter melihat tidak perlu panik kerana ini bukan pertama kali dikenakan PKPB dikenakan.

Sebelum ini Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB akan berkuat kuasa pada 14 Oktober bermula pukul 12.01 PM sehingga 27 Oktober.

Menurut beliu, keputusan itu diambil selepas mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta peningkatan kes positif COVID-19 sejak kebelakangan ini.

"Selepas mendapat nasihat KKM dan mengambil kira kes peningkatan dan penularan yang berlaku seperti di Klang di Petaling dan kes dilihat meningkat di Gombak dan daerah-daerah lain," katanya dalam sidang media pada Isnin.

Sebagai informasi, bilangan kes baharu COVID-19 di Malaysia semalam mencatatkan 563 kes baharu dengan dua kematian menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah 16,220 kes.

Sumber: Astro Awani, BERNAMA
Kredit Foto: BERNAMA