Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur dan Selangor yang dijadualkan tamat pada Ahad, dilanjutkan 14 hari lagi, sehingga 20 Disember ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, tiga daerah di Selangor iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor diumum Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 20 Disember.

Jelasnya, PKPB di Putrajaya pula ditamatkan dan kembali ke PKPP.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPB akan dilaksanakan di Johor Bahru, Batu Pahat dan Kulai mulai 7 sehingga 20 Disember ini.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Malaysia mencatatkan sebanyak 1,141 jangkitan baharu COVID-19 bagi tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes pandemik itu di negara ini sebanyak 70,236 kes.

Sumber: BERNAMA & Awani