Viral

#PMTepiKakGee: “Bukan Nak Aibkan Keluarga Tapi Saya Tersepit” - Ibu & Ayah Tak Bertegur Sapa

gempak
Gempak Spot
27/04/2020
13:44 MYT
Sponsor Banner
#PMTepiKakGee: “Bukan Nak Aibkan Keluarga Tapi Saya Tersepit” - Ibu & Ayah Tak Bertegur Sapa
Soalan:
Salam Kak Gee. Saya memang pembaca setia Gempak. Tak sangka pulak ada ruangan Kak Gee untuk luahkan perasaan dan mungkin dapatkan nasihat. Bagus sangat ada ruang macam ni.
Saya pun nak tanya Kak Gee jugak pasal masalah saya. Dah berbulan saya pendamkan. Mana tau Kak Gee boleh bantu, tapi mintak sangat Kak Gee tak tulis nama betul saya. Saya taknak aibkan keluarga. Cuma Kak Gee bolehlah cakap saya umur 18 tahun dan baru habis SPM tahun lepas.
Saya cuba ringkaskan cerita untuk Kak Gee. Saya ni memang anak angkat yang diambil sejak lahir. Mak saya memang tak ada rezeki untuk mengandung anak sendiri. Saya dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Walaupun bukan keluarga kaya raya, tapi hidup kami selesa dan ada semuanya.
Akhir bulan Januari tahun ni, ayah sakit. Doktor kata kena strok tetapi nasib dia baik sebab tak teruk. Seminggu di ICU dan seminggu di wad biasa. Tapi masa ni lah semuanya terbongkar.
Masa ayah di ICU, ada seorang perempuan dengan anak kecil dalam 1 tahun lebih datang melawat. Saya dan Mak terkejut, dan Mak hampir pengsan bila perempuan tu bagitau dia isteri ayah. Perempuan tu siap tunjukkan pada Mak surat nikah mereka.
Walaupun nampak di luar tenang, tapi keadaan makin tegang bila ayah masuk wad biasa dan kami berempat sama-sama datang melawat. Mak cuba tak keruhkan keadaan dan buat seperti biasa demi kesihatan Ayah masa tu tapi saya tahu Mak makan hati.
Bila Ayah keluar hospital dan balik rumah, dia cuba terangkan pada Mak, tapi mulai hari pertama Ayah balik, Mak dah tak bercakap dengan Ayah. Walaupun tak bercakap, Mak tetap jalankan tanggungjawab dia sebagai seorang isteri.
Mak mandikan Ayah, Mak masak untuk ayah, sediakan keperluan Ayah, dan walaupun tengah malam, Mak akan bangun buatkan air untuk Ayah kalau Ayah minta.
Cuma, Mak tak tidur sebilik dengan Ayah lagi . Sejak pulang rumah dari hospital, Mak tidur di bilik saya. Puas Ayah pujuk Mak tapi Mak tetap diam membisu.
Sekarang dah masuk bulan Ramadan, dan keadaan masih sama. Mak dan saya sediakan juadah, duduk semeja untuk berbuka tetapi sepatah pun tak bercakap antara satu sama lain.
Saya tahu Ayah bersalah dalam hal ni, tapi saya jadi sedih dan risau bila melihat kesihatan mereka berdua semakin merosot. Mak semakin kurus dan sering berendam air mata. Ayah pulak rasa bersalah dan macam hilang selera.
Apa patut saya buat Kak Gee?
Anak Tersepit
Jawapan:
Waalaikumussalam Anak Tersepit. Terima kasih kerana sudi baca ruangan Kak Gee dan jadi peminat setia Gempak. Apa yang boleh Kak Gee katakan, masalah Anak Tersepit ni masalah yang agak besar dan rumit.
Pertama, Anak Tersepit kena tahu, masalah ini tak ada kena mengena dengan Anak Tersepit sebagai anak angkat. Kasih sayang ayah dan mak Anak Tersepit tak akan berubah kerana mereka jaga Anak Tersepit dari kecil sampailah sekarang ini macam anak kandung sendiri seperti yang Anak Tersepit ceritakan.
Sebagai anak gadis yang baru berusia 18 tahun, Anak Tersepit tidak boleh mengharungi perkara ini seorang diri. Terlalu berat kerana ianya melibatkan mak dan ayah. Apa yang Anak Tersepit boleh lakukan adalah terus menjadi anak yang baik untuk mereka berdua di saat ini.
Kak Gee minta Anak Tersepit mungkin boleh bercerita masalah yang dihadapi dengan keluarga terdekat, umpamanya atuk dan nenek pada kedua-dua belah kerana mereka perlu tahu apa yang sedang dihadapi oleh anak-anak mereka. Jika tiada atuk dan nenek, mungkin ibu atau ayah saudara dari kalangan adik beradik mereka.
Bila dalam keadaan sekarang, Anak Tersepit tidak boleh menunjukkan sokongan pada mana-mana pihak biarpun, Anak Tersepit berasakan ayah berada dalam keadaan salah. Sayangi mereka berdua sama rata.
Bila Anak Tersepit bersama-sama mak sebelum tidur, mungkin Anak Tersepit boleh secara lembut dan perlahan-lahan memujuk hati mak supaya menjaga kesihatan, makan dan tidak terlalu bersedih.
Memang perit perasaan orang perempuan bila mereka dapat tahu mereka diduakan, tetapi demi keluarga, Anak Tersepit kena juga pujuk mak sebaik mungkin.
Macam yang Kak Gee beritahu, perkara ini perlu dibantu untuk diselesaikan oleh orang yang lebih tua, terutamanya atuk dan nenek Anak Tersepit supaya mak dan ayah dapat mendengar nasihat dan pandangan mereka dalam hal ini.
Percayalah, mak Anak Tersepit masih sayangkan ayah, kerana dia tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dengan baik. Anak Tersepit juga perlu yakin bahawa kasih sayang antara mereka masih utuh dan mereka perlukan pihak ketiga dalam keluarga yang dapat menguatkan kembali ikatan mereka.
Teruslah jadi anak yang baik kepada kedua mereka kerana Kak Gee tahu Anak Tersepit mampu melakukannya. Kak Gee berdoa agar masalah yang dihadapi oleh Anak Tersepit dapat diselesaikan dengan segera.
Salam sayang dari Kak Gee!
Itu permasalahan keluarga Anak Tersepit, bagaimana pula dengan keluarga Narendra? Jangan lupa saksikan Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini (NKCTHI) bermula 23 April di Astro First saluran 480 dan On Demand.
NKCTHI menceritakan tentang kehidupan keluarga Narendra yang mempunyai tiga orang anak iaitu Angkasa, Aurora dan Awan.
Filem popular Indonesia ini menyaksikan gabungan kerjasama Astro Shaw bersama penerbit yang sering memenangi anugerah utama di Indonesia, Visinema Pictures yang juga merupakan penerbit filem animasi terkenal Indonesia, NUSSA, bersama IDN Media, Blibli.com serta XRM Media.
Apapun, jangan lupa untuk menyaksikan NKCTHI di Astro First saluran 480 dan On Demand bermula 23 April.
Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem NKCTHI, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live