Viral

#PMTepiKakGee: “Terlalu Ramai Yang Negatif Sampai Saya Rasa Nak Bunuh Diri” - Luahan Hati Wanita Dengan Rakan Sekilang

gempak
Gempak Spot
29/05/2020
14:45 MYT
Sponsor Banner
#PMTepiKakGee: “Terlalu Ramai Yang Negatif Sampai Saya Rasa Nak Bunuh Diri” - Luahan Hati Wanita Dengan Rakan Sekilang
Soalan:
Hai Kak Gee. Saya dikelilingi orang yang negatif. Ketika saya belum hamil lagi bila dah setahun lebih berkahwin, mereka asyik panggil saya mandul dan suami saya mati pucuk.
Namun untuk tahun ini ada berita gembira buat saya awal bulan Januari lalu bila saya disahkan mengandung. Masuk minggu kelima saya muntah-muntah. Teruk saya kena kecam dekat kilang. Orang cakap saya ni pura-puralah.
Malangnya bulan Mac lalu saya keguguran. Semua gelakkan saya dan cakap bila belum sahih, janganlah kongsi lagi. Bukan saya yang berkongsi tapi setiap kali boleh solat lewat di kilang semua tanya “eh bulan ni tak period ke? Mengandung ke ? Kalau mengandung bagitahu. Nanti kalau tipu memang anak tu gugur.” Jadi saya pun jujur bagitahu saya mengandung.
Saya selalu dipulaukan sebab saya orang luar. Mereka asyik tanya saya kenapa suami saya boleh kahwin dengan orang macam saya. Kenapa tak pilih orang senegeri dengan dia. Kadang-kadang saya rasa tertekan sampai rasa nak bunuh diri.
Tak cukup dengan mereka pulaukan saya, mereka libatkan mak dan ayah saya kerana saya tak fasih dengan loghat Pulau Pinang, mereka tuduh saya ni terlebih manja. Mak bapak tak ajar berdikari. Itu saja luahan hati saya, Kak Gee!
Yang merana, Rarana
Jawapan:
Hai Rarana. Daripada apa yang diceritakan oleh Rarana pada Kak Gee, dapat Kak Gee simpulkan bahawa orang-orang di tempat kilang Rarana bekerja dan mengaku sebagai kawan sebenarnya toksik kepada diri Rarana.
Kak Gee tumpang bersedih dengan kisah keguguran yang Rarana lalui. Mungkin belum rezeki lagi. Sentiasa berdoa dan memohon kepada Yang Maha Kuasa agar diberi rezeki cahaya mata buat Rarana.
Kak Gee dapat bayangkan apa yang Rarana rasa kerana Kak Gee juga pernah melalui pengalaman yang sama. Begitu juga dengan beberapa orang kawan Kak Gee yang juga melaluinya apabila mempunyai segelintir orang yang selalu negatif terhadap diri kita.
Nasihat yang Kak Gee nak kongsikan pada Rarana adalah sama dengan yang Kak Gee gunakan untuk diri sendiri. Apabila di tempat kerja begitu ramai yang dianggap kawan tetapi merupakan toksik dan selalu beranggapan negatif kepada kita, yang harus kita lakukan adalah mencari kebahagiaan di luar.
Tugas Rarana adalah datang bekerja, buat hal sendiri, jangan kongsikan kisah peribadi dan buat tak tahu saja pada mereka. Apatah lagi mereka sudah memulaukan Rarana jadi tentunya lebih mudah untuk menghindari mereka. Kemudian cari teman-teman lain di luar tempat kerja. Media sosial banyak membantu untuk mencari kenalan yang mempunyai hobi yang sama, yang melalui pengalaman yang sama, dan yang positif dalam berfikir.
Rarana bekerja hanya untuk mencari rezeki yang halal dan tidak perlupun berkawan rapat dengan sesiapa. Bak lagu Ezlynn, cukuplah sekadar ‘Hai Hai Bye Bye’. Rarana akan lebih gembira dengan diri dan kehidupan Rarana bila berkawan dengan mereka yang positif, dan sentiasa memberikan sokongan sesama sendiri. Kak Gee yakin sekali Rarana mampu melakukannya.
Rasa nak bunuh diri kerana mereka sangat tidak perlu ada dalam fikiran kerana seolah-olah Rarana beri mereka kepuasan dapat menghancurkan hidup Rarana. Tukar sikap Rarana sepenuhnya tanpa perlu lagi melayan karenah mereka. Biar mereka bercakap, jangan ambil hati. Masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Itu yang Kak Gee rasa sekarang ini dan hidup Kak Gee juga sangat menyeronokkan. Kak Gee harap Rarana dapat merasakan nikmat hidup yang seronok seperti itu dan selalu berdoa untuk kesejahteraan diri, ibu bapa dan keluarga Rarana.
Stay positive dan salam sayang daripada Kak Gee!
Itu kisah Rarana, bagaimana pula dengan kisah seorang ustaz yang berperang dengan kisah lampau?
Jangan lupa saksikan Ada Apa Dengan Dosa yang mengangkat kisah seorang ustaz menghadapi dosa silam apabila pernah berzina hingga melahirkan anak luar nikah.
Lebih menakutkan, anak itu membesar sebagai seorang yang berfikiran bebas dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan hingga mahu membunuh diri.
Filem terbitan Pencil Pictures & Records itu dibintangi pelakon, Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, PU Riz, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.
Ada Apa Dengan Dosa akan ditayangkan di saluran Astro First bermula 4 Jun ini.
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024