SOALAN

Assalamualaikum Kak Gee, saya kenalkan diri sebagai Kasih96. Saya ada satu masalah dan juga sebenarnya persoalan yang menganggu sehingga saya rasa ingin dapatkan nasihat Kak Gee.

Begini, saya sudah bertunang selama tiga tahun, namun di bulan puasa tahun ini sikap tunang saya berubah menjadi seorang yang panas baran. Kami tinggal di Kampung yang sama.

Jadi kami ada ada berjumpa dan bertukar juadah berbuka. Saya ambil kesempatan untuk berbual santai dengannya mengenai info yang baru saya ketahui hasil bacaan saya dari majalah.

Malangnya, tunang telah menumbuk di kepala saya dengan mengatakan saya bercakap perkara yang tidak masuk akal dan tidak penting. Dia tidak pernah berkelakuan seperti ini kerana sebelum ini dia seorang yang peramah dan sangat ceria walaupun dilanda masalah.



Kini saya menjadi trauma dan takut untuk bercakap dengan nya selepas kejadian itu walaupun dia ada menelefon dan meminta maaf di atas perbuatannya.

Malah sekarang dia pula seperti menyalahkan saya dengan mengatakan diri saya telah berubah dan meminta masa untuk berfikir mengenai perhubungan kami semula. Saya jadi keliru dengan dirinya kerana saya tidak pernah berubah.

Bantu saya Kak Gee.

Yang Benar,
Kasih96


Jawapan

Waalaikummussalam Kasih 96. Selamat berpuasa dan terima kasih berkongsi kegusaran hati anda dengan #PMTepi Kak Gee.

Dari pemerhatian Kak Gee, ada beberapa teori yang mungkin boleh dikatakan menjadi pendorong sikap tunang anda berubah.

Pertama mungkin dia kini mempunyai masalah kewangan. Maklumlah ini kan musim PKP dan bulan Ramadan jadi mungkin dia buntu memikirkan masalah kewangan yang semakin meruncing.

Atau dia mempunyai masalah lain yang tidak mahu dikongsikan dengan anda. Oleh kerana dia tidak mahu berkongsi masalah itu dengan Kasih96, maka dia melepaskan pula kemarahan tersebut kepada anda supaya dirinya berasa lebih tenang.

Kedua, tiga tahun adalah satu tempoh yang lama untuk bertunang. Dan selalunya orang kata saat bertunanglah banyak dugaan. Mungkin selepas dua tahun, inilah fasa dugaan pertunangan anda berdua.



Ketiga, maaf cakap mungkin tunang Kasih 96 sudah berubah hati atau tiba tiba jatuh cinta dengan orang lain. Biasanya manusia berubah apabila ia mendapatkan sesuatu yang baru atau baru mengetahui rahsia lama.

Jadi untuk menyelesaikan tiga teori yang Kak Gee senaraikan ini, ia perlu berbalik kepada kehendak dan keputusan Kasih96 sendiri.

Tentulah jalan pertama yang kena dilakukan, berbincang dengan telus. Kak Gee kira, dalam tempoh 3 tahun ini pastinya kalian sudah 'masak' dengan sikap masing masing, jadi bawa berbincang elok elok.

Ingat, komunikasi adalah hal terpenting dalam apa juga perhubungan. Terima dengan hati terbuka kalaupun hasil perbincangan kalian mungkin tidak berakhir positif.

Seterusnya, cuba berubah dan perbaiki setiap kesilapan atau sikap yang kurang disenangi (setelah berbincang). Berikan peluang untuk kembali memulihkan ikatan pertunangan yang telah terbina.

Jika Kasih96 ingin menjadi isteri tunang anda, maka anda kena banyak bersabar kerana ia mungkin akan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan semula 'spark' dalam percintaan kalian.

Tapi, jika Kasih96 rasa takut untuk meneruskan hubungan atau berkahwin dengannya setelah trauma dipukul dan sikap panas barannya, ini adalah masa yang terbaik untuk anda memutuskan tali pertunangan dengan cara yang baik, sama seperti sewaktu si dia melamar anda dahulu.

Sejujurnya kalau anda tanya, Kak Gee tidak akan memberi masa buat seorang lelaki yang sebelum punya ikatan rasmi pun sudah berani angkat tangan dan panas baran. Sekali lelaki pernah memukul seorang perempuan, pasti lambat laun ia akan berulang kembali di masa hadapan.

Hal ini kerana pernikahan bukan sebuah persinggahan, tapi ia adalah sebuah perjalanan untuk pasangan yang cukup panjang. Daripada hari hari setelah berkahwin badan cedera dan berendam air mata, lebih baik hati hancur sekarang.

Sebab Kak Gee percaya, hati yang hancur akan Allah gantikan dengan sebaik baiknya macam pelangi muncul selepas hujan.

Kasih96, fikir baik baik tentang masa depan anda. Pilihan di tangan anda. Sebelum membuat keputusan, gunakan beberapa nasihat yang Kak Gee beri ya.

-----------------------------------------------------------------------------------------


Itu permasalahan Kasih96, bagaimana pula dengan keluarga Narendra? Jangan lupa saksikan Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini (NKCTHI) bermula 23 April di Astro First saluran 480 dan On Demand.

NKCTHI menceritakan tentang kehidupan keluarga Narendra yang mempunyai tiga orang anak iaitu Angkasa, Aurora dan Awan.

Filem popular Indonesia ini menyaksikan gabungan kerjasama Astro Shaw bersama penerbit yang sering memenangi anugerah utama di Indonesia, Visinema Pictures yang juga merupakan penerbit filem animasi terkenal Indonesia, NUSSA, bersama IDN Media, Blibli.com serta XRM Media.

Apapun, jangan lupa untuk menyaksikan NKCTHI di Astro First saluran 480 dan On Demand bermula 23 April.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem NKCTHI, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.

Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!