Setelah sekian lama, kita akhirnya berpeluang untuk kembali menonton wayang di panggung.

Bagaikan tepat pada masanya, filem paling dinanti-nantikan iaitu Marvel Studios' Shang-Chi and The Legend of The Ten Rings juga telah mula ditayangkan bermula hari ini.

Sukar untuk penulis gambarkan bagaimana terujanya selepas menonton filem ini ketika tayangan perdana kelmarin.

Lihat saja ‘trailer’ sudah meremang bulu roma, inikan pula menonton keseluruhan filem ini.

Apapun, pasti ramai yang tertanya adakah Marvel Studios' Shang-Chi and The Legend of The Ten Rings ini mampu berdiri setanding dengan filem Marvel lain?

Berikut merupakan ulasan penulis mengenai filem ini!

Di Luar Jangkaan!

Filem epik arahan Destin Daniel Cretton ini mengisahkan tentang pemuda bernama Shang-Chi yang perlu membanteras kejahatan yang dilakukan oleh sebuah organisasi misteri.

Walau bagaimanapun, dalang sebenar organisasi itu akhirnya terdedah dan Shang-Chi terpaksa berdepan dengan musuh paling sukar dalam hidupnya.

Watak Shang-Chi boleh dikatakan agak baru dalam ‘Marvel Cinematic Universe’, jadi penulis menjangkakan filem ini akan sedikit meleret dan perlahan.

Namun, ternyata jangkaan penulis meleset kerana ia tidak dihasilkan sebegitu.

Terus terang, ‘pacing’ filem ini boleh dikatakan agak laju kerana permulaannya saja, penonton sudah ‘dihidangkan’ dengan pelbagai aksi pertarungan yang mengagumkan.

Pengenalan serta penceritaan terhadap sejarah empayar ‘Ten Rings’ serta susur galur keluarga Shang Chi juga sangat ringkas dan padat. Tak meleret!

Sesekali mengingatkan penulis kepada ‘intro’ filem animasi terbitan Walt Disney.


Aksi Fighting Bertubi-Tubi, Yes Inilah Marvel!

Seperti penulis katakan tadi, ‘pacing’ permulaan filem ini agak laju sebenarnya.

Dalam tempoh sekitar 15 hingga 20 minit saja, penonton ‘disajikan’ dengan babak pertarungan yang ‘jaw dropping’.

Ketika ini, pasti peminat marvel akan ‘goosebumps’ kerana di sinilah titik permulaan untuk melihat sejauh mana hebatnya watak Shang Chi ini.

Malah, babak lawan dalam filem ini boleh dikatakan sangat banyak sebenarnya, non stop!

Tidak dinafikan ada sedikit perlahan di beberapa babak, tapi penulis anggap ia normal. Mana-mana filem pun begitu, pasti ada mainan emosinya.

Rindu Filem Kung Fu? Kali Ini Next Level!

Kekuatan utama filem ini pastinya babak aksi pertarungan.

Namun, apa yang membezakan filem ini dengan karya Marvel lain adalah jenis ‘martial art’ yang digunakan.

Bayangkan anda menonton sebuah filem kung fu tetapi dinaik taraf kepada sebuah filem Marvel.

Tidak cukup dengan watak Shang Chi dan ayahnya WenWu, pertarungan kung fu diteruskan dengan beberapa aksi daripada watak utama lain termasuklah Leiko Wo dan Xialing.

Namun, kemunculan Jian Nang lakonan hebat pelakon kebanggaan Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh menjadikan filem ini terasa lebih sempurna.

Begitu juga watak ‘villain’ WenWu lakonan Tony Leun! Seperti tidak cukup melihat dia berlawan menggunakan Ten Rings tersebut!

Filem Marvel Studios' Shang-Chi and The Legend of The Ten Rings sedikit sebanyak mengingatkan penulis kepada drama kung fu dahulu kala.

Cameo Hebat Buat Ramai Peminat Marvel Tak Tentu Arah!

Mungkin agak ‘exaggerate’ namun, kehadiran beberapa cameo daripada filem lain sudah tentu membuatkan peminat Marvel bersorak.

Begitu jugalah ketika watak Wong muncul dalam beberapa babak.

Biarpun hanya sekadar cameo, namun watak Wong agak penting sebenarnya.

Nasihat penulis, janganlah tinggalkan wayang sebaik filem ini tamat.

Seperti mana karya Marvel lain, ‘mid cerdit’ atau ‘end credit' pasti wajib untuk anda tunggu.

Penulis sendiri jadi tak tentu arah melihat ‘mid credit’ filem ini. Hilang rindu!

Selain itu, kemunculan satu ‘hidupan’ lagenda dalam filem ini juga memberi impak yang besar dan sekali lagi bakal mengundang ‘goosebump’ penonton.

Kemunculan hidupan itu membuatkan filem ini sangat besar skalanya, tetapi pada masa sama masih mengekalkan elemen dan kepercayaan masyarakat China khususnya.

Babak akhir dalam filem ini juga boleh dikatakan epik kerana ia menonjolkan sendiri betapa kuatnya kuasa Ten Rings tersebut.

Senang kata, klimaks filem ini berjaya! (dan penuh emosi).

Banyak sebenarnya mahu dibincangkan mengenai filem ini kerana ia sangat berlainan dengan filem Marvel sebelum ini.

Seperti mana ramai yang teruja melihat dunia Wakanda Black Panther sebelum ini, begitu juga dunia Marvel Studios' Shang-Chi and The Legend of The Ten Rings. Totally next level!

Jika ditanya apakah kekurangan filem ini, mungkin pada beberapa babak yang sedikit perlahan. Namun, ia tidaklah mencacatkan momentum filem ini.

Apapun penulis tak sabar untuk menantikan filem Marvel seterusnya dan penulis anggap Marvel Studios' Shang-Chi and The Legend of The Ten Rings sebagai permulaan baru untuk fasa keempat MCU.

Rating Gempak: 9/10