Laman Utama
Positif COVID-19 Dengan Satu Dos Vaksin, Liyana Jasmay Selar Eksperimen Netizen Masuk Restoran
Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay menyelar tindakan seorang netizen yang disifatkan tidak bertanggungjawab tentang isu COVID-19.
Menerusi Instagram Story, Liyana berkongsi foto paparan skrin status seorang individu yang belum lengkap divaksin, tetapi melakukan eksperimen sosial dengan makan di restoran dan sebagainya.
Menurut individu itu juga, semua premis yang dimasukinya tidak melakukan pemeriksaan sama ada sudah lengkap dua dos vaksin ataupun sebaliknya.
Justeru, Liyana mengatakan perkara sebegitu tidak boleh dibuat main kerana mampu mempengaruhi orang lain melakukan perkara berbahaya.
"Ini adalah contoh orang yang tak bertanggungjawab dan rasa Covid ini lawak. Kepada yang anti-vaksin, itu pilihan anda tapi jangan nak buat eksperimen macam ini dan rasa awak tu hebat.
"Awak mempengaruhi perkara bahaya kepada ramai orang, Covid bukan satu benda kelakar.
"Masya-Allah, semoga terbuka hati keluarga anda untuk fikirkan keselamatan orang lain," tulisnya.
Dalam pada itu, Liyana menceritakan keadaan dirinya dan suami yang positif wabak berkenaan tiga minggu lalu. Katanya, mereka tidak pernah terfikir untuk orang lain lalui apa yang telah menimpa mereka.
"Saya dan suami positif COVID-19 tiga minggu lalu, dan tidak pernah sesekali kami ingin orang lain melalui apa kami lalui.
"Ketika kena Covid, kami berdua dah ada satu dos vaksin AstraZeneca, syukur Ya Allah, selesai kuarantin kami cepat-cepat selesaikan dua dos dan kuarantin lagi 14 hari untuk kendiri badan," tambahnya.
Liyana menyeru orang ramai untuk sama-sama bertanggungjawab dan tidak melakukan perkara sebelum berfikir dengan betul.
"Kita kena sama-sama bertanggungjawab untuk apa yang kita lakukan, janganlah buat perkara tanpa fikir betul-betul," akhirinya.
Sementara itu, individu yang memuat naik tentang eksperimen sosial tersebut telah disiasat pihak polis.
Must-Watch Video