Laman Utama
Pro Is***l, Eric Nam Dakwa Diugut Punca Batal Konsert Di Malaysia
Bintang Korea-America, Eric Nam mendakwa pembatalan konsert yang sepatutnya dilakukan di Malaysia pada Februari 2024 dibuat selepas menerima ugutan dalam kalangan pengguna media sosial tempatan.
Ugutan tersebut dakwa Eric lagi terjadi selepas dia memberi tanda suka pada seorang ahli politik, Jordan C Brown yang mengutuk tindakan Hamas menyerang Israel.
Tidak mahu sebarang kejadian buruk berlaku pada siri jelajah Konsert House On A Hill World Tour yang dirancang 24 Februari depan, Eric mengeluarkan Malaysia dalam persinggahannya.
“Saya telah menerima ugutan mengenai konsert di Malaysia. Dengan berat hati saya dan seluruh tim mengambil keputusan untuk membatalkan kedatangan ke sana,” katanya seperti dilaporkan SCMP.
Eric pertama kali bercakap tentang pembatalan konsert tersebut pada 30 Oktober menerusi bebenang X.
Dalam kenyataan sama, Eric turut menjelaskan tindakannya memberi tanda suka kepada perkongsian Brown awal bulan ini sebagai sokongan terhadap sikap kemanusiaan, mahukan keharmonian dan keadilan buat semua.
“Hati saya sangat terluka melihat banyak keluarga Palestin dan Israel yang terkorban kerana keganasan dan peperangan yang terjadi. Saya tidak boleh membayangkan kehilangan mereka.
“Perkataan tidak cukup untuk menggambarkan penderitaan mereka dan saya akan terus berdoa mereka selamat dan keharmonian dapat dicapai,” katanya lagi.
Must-Watch Video