Laman Utama
Proses Persiapan Buku Penuh Air Mata, Puteri Sarah ‘Spill The Tea’ Kisah Peribadi & Tragedi Hidup Dalam ‘Terus Melangkah’ - “Menceritakan Sisi Lain Yang Tak Pernah…”
Bagi menyiapkan naskhah pertamanya berjudul Puteri Sarah: Terus Melangkah, pelakon Puteri Sarah Liyana mengakui dia banyak kali mengalirkan air mata sepanjang proses itu.
Menurut Sarah, bukan sahaja dirinya yang gagal menahan air mata, malah insan terdekat seperti keluarga dan rakan-rakannya terkesan sama.
“Iya, memang banyak kali menitiskan air mata termasuk orang-orang yang memberikan input untuk siapkan buku ini. Bukan setakat air mata saya sahaja, tetapi keluarga, adik beradik dah kawan-kawan rapat saya sendiri,” katanya.
Sarah berkata demikian pada majlis pelancaran buku Puteri Sarah: Terus Melangkah yang berlangsung di PWTC bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai buku tersebut, aktres berusia 36 tahun itu berkata, naskhah berkenaan bakal mendedahkan kisah peribadinya yang sebenar yang tidak pernah dikongsikan kepada umum.
“Buku ini mengenai positiviti untuk melangkah ke depan tanpa menolah ke belakang semula. Memandangkan ramai yang datang kepada saya bertanyakan bagaimana saya dapatkan kekuatan.
“Ada yang ingin pinjam sifat positif dalam diri saya. Oleh itu, saya membuat buku ini supaya orang ramai boleh membaca perjalanan kisah hidup saya. Buku ini bukan cerita benda yang tidak elok atau membuka aib sesiapa.
“Hanya menceritakan perkara yang baik-baik sahaja. Ramai yang tidak tahu saya di belakang tadbir macam mana orangnya. Mungkin ada yang bertanya saya ini dulu seorang yang bagaimana hidupnya, zaman belajar saya, kehidupan saya dengan keluarga dan sebagainya.
“Jadi dalam buku ini menceritakan sisi lain yang tak pernah saya kongsikan kepada umum,” ujarnya.
Turut bersama pada majlis pelancaran ialah Reina Lum selaku editor dari sudut pandangan undang-undang bersama penulis utama buku yang juga pengurus serta kawan rapat Puteri Sarah, Emi Anvepa.
Sementara itu, turut kelihatan ibu dan keluarga mertua Puteri Sarah iaitu Datuk Yusof Haslam serta Datin Patimah pada majlis berkenaan.
Buku terbitan Terbit Sendiri Empire dan Projek Nomad Sdn Bhd ini sudah dibuka untuk pre-order di laman web puterisarahliyana.com dengan harga promosi RM39.90 bagi 500 naskhah pertama sebelum 31 Mei 2023. Harga asal adalah RM49.90.
Must-Watch Video