Seramai 1,500 penonton Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk menonton Konsert Slam Mentari Muncul Lagi, malam tadi (Sabtu).

Selama dua jam membuat persembahan dengan lagu-lagu nostalgia, vokalis Slam, Zamani tetap bertenaga walaupun umum tahu masalah penyakit skoliosis yang mengakibatkan tulang belakangnya melengkung sejak 2019 dialaminya.

Gaya bersahaja Zamani tidak menampakkan dia seperti seorang yang sedang sakit, malah aura bintangnya tetap sama seperti 31 tahun lalu.

Begitu juga dengan anggota lain iaitu bersama Shah selaku ketua kumpulan juga pemain gitar utama, Ajak (gitar kedua), Lili (bass), Man (dram) dan Eddie (keyboard) yang bersemangat sehingga ke akhir konsert.

Apa yang boleh dikatakan, berbaloi penantian dapat menonton konsert yang dua kali tertangguh hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Slam membuka tirai persembahan dengan alunan lunak vokal Zamani menyanyikan lagu Biarkannya, disusuli Buat Seorang Kekasih, Manisnya Rindu dan Rindiani.

Dalam usia 51 tahun, pujian wajar diberikan kepada Zamani kerana masih mampu menyampaikan semua lagu dengan baik.

Malam Konsert Slam Mentari Muncul Lagi, peminat turut disajikan lagu-lagu hit yang menjadi siulan satu ketika dulu seperti Tak Mungkin Berpaling, Nur Kasih, Maria Mariana, Kembali Merindu, Suratan, Biarkan Ia Pergi dan Kembali Terjalin.

Melengkapi set kedua persembahan, Slam mengalunkan lagu Kurnia, Sinar Menunggu, Jika Kau Rasa Getar, Gerimis Mengundang dan Mentari Muncul Lagi.

Konsert turut dimeriahkan dengan kehadiran sabahat-sahabat artis seperti Along, Ajai, Musa dari Exists Reunion, Ella bersama suami serta Jojie, Shuib, Wany Hasrita, Neves Pretty Ugly dan Radin Era.

Lebih istimewa Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman turun mencemar duli menyaksikan konsert malam tadi.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.