Laman Utama
Pulang Ke Rahmatullah Dalam Tidur, Sifat Santun & Wajah Tampan Allahyarham Badrul Muhayat Akan Dirindui
Benarlah kata pepatah; jodoh dan ajal adalah rahsia Allah SWT. Masih lagi kadang-kala membaca tajuk ‘Badrul Muhayat Menikah Kerana Kopi’ yang melintas di media sosial, hari ini, 28 Oktober 2023 khabar duka menyentak sanubari peminat pelakon ini semua.
Badrul Muhayat dilaporkan telah meninggal dunia di Pulau Pinang. Pelakon lelaki yang terkenal dengan ketampanan, murah senyuman dan lembut bicara ini berusia 55 tahun saat dijemput Ilahi.
Allahyarham difahamkan berada di Pulau Pinang kerana menyertai Karnival UDA 2023.
Menerusi kenyataan yang diberikan isterinya, Norhayati Zulkapli, Badrul Muhayat meninggal dunia dalam tidur di sebuah homestay. Jenazahnya pula mahu disemadikan di kampung halamannya, Johor Bahru.
Berita sedih itu pertama kali diketahui media massa melalui perkongsian salah seorang dramatis, Anne Abdullah.
“Assalamualaikum saya nak maklumkan yang Badrul Muhayat sudah meninggal dunia di homestay Penang. Al Fatihah,” tulisnya dengan latar merah di Facebook.
Perkhabaran tersebut sangat mengejutkan apa lagi mengingat isi temu bual Badrul yang mengaku sudah banyak berubah selepas menikah dengan Norhayati Zulkapli, 50.
Perkenalan singkat empat bulan kerana secangkir kopi membawa bintang filem Harry Boy itu kembali ke alam rumah tangga. Ini merupakan perkahwinan ketiga Allahyarham.
Mereka menikah pada 18 April 2023 bersempena tarikh ulang tahun Badrul Muhayat.
“Bagi saya, sesiapa sahaja pun pasti mahu pergi ke arah kebaikan. Apalagi bila Allah SWT kurniakan peluang untuk berkahwin lagi, rasanya dalam 10 itu, sekurang-kurangnya ada enam atau tujuh perkara yang membuatkan saya jadi insan lebih baik,”katanya kepada media.
Tetapi hanya berselang tidak sampai 20 hari pertemuan dengan media kerana mempromosi filem terkini lakonannya, Cerana Biduk Bu Merah, Badrul berpulang ke negeri abadi.
Tentu sahaja pemergiaan Badrul Muhayat menjadi sebuah lagi kepulangan yang ‘dicemburui’ — pulang di dalam tidur dan tenang apa adanya.
Wajah tampan yang mudah tersenyum, cukup sopan santun dan tidak sukar didekati ini akan selalu membuat peminat merinduinya. Namun bersama Ilahi, itulah kehidupan hakiki kita setiap manusia.
Semoga tenang di sana. Al Fatihah.
Berikut antara fakta mengenai Badrul Muhayat Ahmad Jailani:
- Badrul menggunakan nama sebenarnya sebagai nama pentas iaitu Badrul Muhayat. - Merupakan pelakon kelahiran Johor Bahru. Badrul pertama kali menceburkan diri ke bidang glamor menerusi penyertaan dalam pencarian Hero Remaja. - Allahyarham merupakan sepupu kepada pelakon jelita, Maria Farida. - Baru menikah buat kali ketiga pada 18 April 2023. Allahyarham bagaimanapun memiliki dua anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Nur Delisha, 16 dan Badrul Hidayat, 13, yang kini tinggal dengan bekas isterinya. - Mula aktif pada tahun 1990, filem pertama Badrul adalah Riang Tirana. Filem ini turut dibintangi Erma Fatima, Azhar Sulaiman dan Raja Azura. - Nama Badrul kemudian menjadi buah mulut selepas muncul dalam filem Harry Boy arahan sutradara A R Badul. Harry Boy ditulis dan Allahyarham Julie Dahlan dan diproduksi syarikatnya, JD Production. Badrul berganding dengan bintang Sofia Jane dalam filem romantik yang ditayangkan pada tahun 1991 ini. - Cerana Biduk Bu Merah adalah filem terakhir yang dibintangi Badrul yang baru ditayangkan pada 12 Oktober lalu. - Selain membintangi filem, Badrul juga terkenal di layar kaca televisyen. Antara drama pembabitannya adalah Opah, Pia dan Wanita Milik Tuan Putra.BERITA TRENDING: Badrul Muhayat Meninggal Dunia
Must-Watch Video