Filem seram Pulau berjaya melakar pencapaian baharu selepas ditayangkan di Kemboja sejak 22 Jun lalu dengan mencatat kutipan lebih RM700,000.

Syarikat pengedarnya, WebTVAsia yang bekerjasama dengan pengedar filem terbesar di Kemboja, Westec Media memaklumkan filem terbabit telah memecahkan rekod filem seram Malaysia di Kemboja.

Pulau memegang rekod untuk pembukaan paling besar pada hari pertama, hujung minggu pembukaan, hujung minggu kedua, dan hujung minggu ketiga bagi filem Malaysia di Kemboja.

Ia juga merupakan filem Malaysia nombor satu dan filem seram ketiga secara keseluruhan untuk Westec Media pada tahun 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan WebTVAsia, Fred Chong bekata pihaknya gembira atas kejayaan filem terbabit yang berjaya menarik perhatian penonton di Kemboja.

"Bersama dengan rakan pengedar, My Way Pictures dan Filmforce Studio, kami turut bangga adapat menyokong pembikinan filem yang berjaya di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara. Ini membuktikan bahawa filem tempatan mampu berdiri setanding dengan filem antarabangsa," katanya.



Pengarah Eksekutif My Way Pictures, Michael Helfman, berkata, "Saya pernah menjangkakan bahawa bintang serantau seterusnya adalah daripada filem Pulau. Benarlah seperti yang dikatakan, seluruh barisan pelakon telah memberikan yang terbaik sehingga filem Pulau mendapat kejayaan yang mengejutkan di Kemboja. Saya amat berbangga kerana dapat terlibat dalam pembikinan filem Pulau yang dibintangi para pelakon Malaysia yang sangat berdedikasi dan berbakat."

"Kerjasama serantau seperti ini melambangkan era baharu bagi industri kreatif Malaysia di mana kita boleh berkongsi pengetahuan, bakat, dan infrastruktur di seluruh Asia Tenggara," kata Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman, yang menyaksikan tandatangan MOU. "Kami bersemangat untuk melihat lebih banyak lagi kandungan daripada Malaysia, menawan penonton di Kemboja dan lebih jauh lagi."

Wakil Malaysia ke Festival Filem Antarabangsa Kemboja 2023

Selain daripada tayangan di panggung wayang, Pulau telah dipilih untuk Festival Filem Antarabangsa Kemboja 2023 dan menjadi satu-satunya wakil dari Malaysia.

Pulau juga telah ditayangkan di Vietnam (juga menjadi filem Malaysia dengan keuntungan tertinggi sepanjang masa), Indonesia, Singapura, dan Brunei.

Memanfaatkan kejayaan Pulau di Kemboja ini, WebTVAsia dan Westec Media juga menandatangani MOU penting hari ini untuk bersama-sama membangunkan rangkaian pengkarya digital bersijil YouTube pertama di Kemboja di bawah payung MCN WebTVAsia.

"WebTVAsia yang mempunyai kebolehan tiada tandingan dalam membina saluran YouTube dan melahirkan bintang ternama akan membolehkan kami memperluaskan ekosistem pengkarya kandungan di Kemboja dengan cepat," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Westec Media, Michael Chai. "Perkongsian ini membolehkan bakat digital Kemboja mendapat lebih banyak manfaat daripada teknologi bertaraf dunia, sumber daya, dan bimbingan untuk mencapai kejayaan di YouTube."

Dipacu oleh visi bersama dan kebolehan yang saling melengkapi, kerjasama WebTVAsia-Westec Media menandakan era baharu peneraju hiburan Malaysia di Kemboja dan rantau ini. Sejak 2013, rangkaian Asia WebTVAsia secara eksklusif menguruskan lebih daripada 3,500 saluran teratas dengan jumlah langganan gabungan sebanyak 800 juta dan menghantar lebih daripada 7 bilion lalu lintas video setiap bulan.