Anak tiri penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aazief Khalid mengakui sudah berpisah dengan pengasas dan pemilik jenama kosmetik BeuTYRA, Tyra Kamaruzzaman sejak sebulan lalu.

Menerusi laman Twitter miliknya, Aazief menekankan perpisahan terjadi bukan disebabkan kes kecurangan seperti yang didakwa.

Walaupun sudah tidak bersama, Aazief mendedahkan hubungan bersama Tyra dalam keadaan baik malah mereka masih berjumpa dan bekerja bersama-sama.

Tambah Aazief dia tidak mampu untuk mempunyai perasaan benci terhadap Tyra memandangkan mereka mempunyai kenangan manis bersama selama beberapa tahun.
Berdasarkan pemerhatian Gempak di laman sosial Aazief dan Tyra, kebanyakan foto mereka berdua sudah dipadamkan.

Terdahulu, kecoh di laman Twitter apabila Tyra didakwa telah berlaku curang bersama seorang lelaki yang dikenali sebagai Amin Daniel.

Walau bagaimanapun, Tyra tampil menjelaskan situasi sebenar dengan mengakui dia mengenali Amin namun tidak berhubung selepas bersama dengan Aazief.