Penyanyi terkenal Yasin Sulaiman sempat mendendangkan lagu ciptaanya yang berjudul Bebaskan Aku di sebalik tirai besi yang dikongsi di akaun Instagramnya pada Jumaat.

Menerusi kapsyen yang ditulis oleh wakil Yasin, lagu ciptaannya bersama seorang individu dikenali sebagai Jo Tan dinyanyikan semula selepas anaknya, Malaika meminta ayahnya mendendangkan lagu tersebut semasa lawatan baru-baru ini.

Malah, lagu tersebut dirakamkan sekali lagi menerusi panggilan telefon untuk diperdengar dan dihayati oleh semua peminat yang merinduinya.

"Semasa lawatan penjara yang lepas, Malaika meminta ayahnya menyanyikan lagu ini untuknya.

“Beberapa hari kemudian, kami meminta Yasin menyanyikan lagu ini semula dalam panggilan telefon supaya dapat direkod dan dihayati oleh semua," kata kenyataan itu lagi.

A post shared by Yasin Sulaiman (@yasinsulaiman)


Sementara itu di ruangan komen, ramai wargamaya menitipkan kata-kata sokongan buat Yasin agar dia terus tabah mengharungi dugaan hidup.

Tidak kurang juga ada yang berasa sayu mendengar bait-bait lirik yang dipersembahkan seolah-olah menggambarkan keadaan yang dialaminya ketika ini.

Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, Yasin didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di sebuah unit kondominium di Kota Damansara pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati.

Sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.